Malaysia-Nepal fokus kerjasama digital, kecerdasan buatan

Aspek digital dan kecerdasan buatan serta teknologi merupakan antara fokus utama kerjasama yang dijalinkan antara Malaysia dan Nepal, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara tersebut dibincangkan bersama Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal di Singhadurbar, Kathmandu pada Jumaat lalu.

“Hubungan diplomatik yang terjalin sejak tahun 1960 telah membawa manfaat kepada kedua-dua buah negara dan melalui perkembangan yang cukup baik.

“Saya amat positif terhadap perbincangan yang berjalan bersama Perdana Menteri Nepal. Pastinya banyak ruang yang boleh diteroka untuk menguatkan lagi hubungan dua hala kedua negara.

“Aspek digital, artificial intelligence, teknologi akan menjadi fokus kali ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Saifuddin berkata sebelum pertemuan bersama Pushpa, beliau bersama-sama delegasi kementerian telah dibawa melawat ke Pusat Saringan Kesihatan dan juga Pusat Pemprosesan Visa yang menyediakan perkhidmatan dan fasiliti bagi memproses visa ke Malaysia yang melibatkan warganegara Nepal.

“Perdana Menteri Nepal dalam pertemuan ini juga menyatakan rasa optimis bahawa dengan kerjasama erat antara kedua-dua buah negara akan memacu pertumbuhan dari aspek ekonomi dan pembangunan,” katanya.

Saifuddin memulakan lawatan kerja ke Nepal mulai Khamis dengan mengadakan pertemuan bersama Menteri Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial, Dol Prasad Aryal bagi membincangkan pelbagai perkara membabitkan pengurusan penggajian pekerja asing Malaysia-Nepal.

“Sebagai negara ketiga terbesar yang menyumbang tenaga kerja asing di Malaysia, kebanyakan dari mereka berada dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan.

“Pertemuan turut menyentuh tentang perjanjian persefahaman serta jalan kehadapan yang boleh dirintis bagi memastikan penggajian pekerja asing dapat mengadaptasi penggunaan teknologi dan artificial intelligence (AI),” katanya.

Siri lawatan kerja itu membabitkan urusan penjajaran baharu Malaysia berhubung Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing serta Pelan Rekalibrasi PATI 2.0.

Saifuddin mengadakan mesyuarat dua hala dengan Dol Prasad Aryal, Menteri Buruh, Pekerjaan dan Keselamatan Sosial Nepal, Dol Prasad Aryal mengenai penggajian pekerja asing di Kathmandu pada Khamis lalu. Foto KDN

Saifuddin kemudian turut melawat Dhaka, Bangladesh bagi membincangkan mengenai pelan penggajian pekerja asing di Malaysia.

“Beberapa pertemuan bersama menteri serta pemain industri berkaitan diharap bakal menemukan titik persefahaman yang akan melancarkan lagi urusan ini dan sekali gus merancakkan hubungan dua hala yang bakal meneroka pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.

Terdahulu ketibaannya disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Bangladesh, Haznah Md Hashim dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia Md Golam Sarwar.

BACA JUGA: Mesyuarat khas setuju penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing