Akaun dibeku: ‘Kalau bersih, tak perlu takut’ – Anwar

Parti politik yang dibekukan akaunnya ketika ini perlu terbuka kepada siasatan oleh badan penguatkuasaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para pemimpin politik berkenaan agar tidak menggunakan alasan agama dan kaum untuk mempertikaikan tindakan siasatan ke atas mereka.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menegaskan, seruan berkenaan dibuat kerana beliau melihat terdapat usaha menggunakan alasan agama yang remeh bagi mengalihkan isu siasatan penyelewengan.

“Mana mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan penyalah gunaan kuasa, apatah lagi Islam yang tegas menolak kesalahan itu.

“Tak perlu kita tekankan perkara ini berulang kali, tetapi ia memang memerlukan kerjasama semua pihak.

“Beri ruang kepada badan kuasa untuk lakukan tugas mereka. Kalau bersih, tak perlu takut. Semua war-warkan mereka bersih dan mahu wujudkan kerajaan bersih.

“Patutnya kita sokong, berikan kuasa kepada badan penguatkuasaan untuk menjalan dan menyempurnakan tugas mereka,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Mengulas mengenai isu pembekuan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anwar berkata ia bukanlah isu baharu.

Katanya, sebelum ini apabila akaun UMNO dibekukan Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Mahiaddin Yassin mempertahankan profesionalisme pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Semasa akaun parti UMNO dibekukan, Tan Sri Mahiaddin (Pengerusi Perikatan Nasional) kuat mempertahankan tugas profesionalisme SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Sekarang pembekuan itu dibuat dilakukan terhadap akaun Bersatu kerana jumlahnya besar dan dikaitkan beberapa keputusan kerajaan di bawah pimpinan beliau.

“Sepatutnya mereka bersiap untuk memberikan penjelasan yang mana perlu dan jangan ganggu badan penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, LHDN,” ujarnya.

BACA JUGA Potong peruntukan: Ahli parlimen boleh kerjasama dengan syarikat swasta