MAPIM sokong solidariti Palestin di sekolah, anak mesti diajar hayati makna keadilan

MAPIM sokong solidariti Palestin di sekolah, anak mesti diajar hayati makna keadilan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyokong arahan Kementerian Pendidikan untuk mengadakan kegiatan solidariti dengan rakyat Palestin di sekolah.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata kanak-kanak mesti diajar memahami dan menghayati makna keadilan, penghormatan, dan hak untuk semua manusia.

Walaupun terdapat segelintir badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang arahan Kementerian Pendidikan itu, beliau berkata, pihaknya menyokong penuh inisiatif berkenaan sebagai bahagian penting dalam mendidik pelajar sekolah untuk memahami ketidakadilan dan pelanggaran terhadap nilai kemanusiaan.

Menurutnya, kanak-kanak tidak harus terlindung daripada dunia nyata dengan kebaikan dan keburukannya.

“Mereka (kumpulan yang menentang) berpendapat perang di Gaza isu dewasa dan sekolah tidak seharusnya terbabit.

“Mereka keliru. Matlamat penting pendidikan sekolah untuk menerapkan nilai yang baik serta mencegah yang mungkar dalam diri kanak-kanak.

“Apa cara yang lebih baik untuk mengajar nilai-nilai itu daripada membuat kanak-kanak memahami kekejaman, perampasan, dan ketidakadilan yang mengiringi peristiwa Nakbah (Bencana) Palestin,” katanya, dipetik BH hari ini.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November ini melibatkan semua institusi pendidikan di bawah KPM iaitu sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.

Program tersebut bertujuan mendidik murid-murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan.

Ini termasuklah sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya tidak berkompromi terhadap unsur-unsur radikalisme, ekstremis, keganasan dengan replika dan senjata tidak dibenarkan sama sekali.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi dalam sokongan terhadap pelaksanaan program solidariti Palestin berkata, pencerobohan ke atas bumi para Nabi itu menjadi contoh yang jelas penjajahan mengakibatkan penderitaan rakyat.

Tegasnya, semua ibu bapa amat terkesan dengan pengeboman secara rambang yang berterusan di Gaza oleh Israel, yang mengakibatkan kematian lebih 7,000 orang awam dalam tempoh 16 hari, termasuk lebih 3,000 kanak-kanak.

“Kami berdiri atas perlunya kanak-kanak sekolah menyatakan sokongan mereka kepada pihak yang tertindas di mana sahaja di dunia.

“Ini cara yang betul untuk menanam pemahaman yang mendalam tentang apa yang dimaksudkan dengan penaklukan dan perang terhadap kemanusiaan,” kata beliau.

Tambahnya, sikap belas kasihan perlu diterapkan dalam proses pembelajaran bagi setiap kanak-kanak dan itu tidak boleh dicapai dengan mengabaikan realiti.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )