Mas Ermieyati kekal kerusi Parlimen Masjid Tanah

Mas Ermieyati kekal kerusi Parlimen Masjid Tanah

Mahkamah Pilihan Raya Melaka pagi ini mengekalkan kemenangan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas menolak petisyen difailkan calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) terhadap dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagaimanapun mengekalkan kerusi itu selepas mahkamah menolak petisyen berkenaan, bagi menafikan kemenangan calon PN itu pada PRU15.

Namun, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen berkenaan dikembalikan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November tahun lalu, Mas Ermieyati mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah selepas menewaskan tiga calon lain iaitu Abdul Hakim, Mutalib Uthman (Muda) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Meraih majoriti 4,411 undi berbanding Abdul Hakim, Mas Ermieyati menjadi Ahli Parlimen Masjid Tanah bagi penggal ketiga.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )