Masa depan negara ada di tangan anak muda – Mohamad Sabu

Kepentingan dan peranan anak muda dalam kemakmuran negara mendapat perhatian Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu juga berharap Malaysia menjadi negara yang hebat dan dihormati.

“Masa depan negara ada di tangan anak-anak muda hari ini. Esok mereka pula yang akan mengambil alih mentadbir negara.

“Saya berdoa semoga Malaysia menjadi negara yang hebat dan dihormati ramai,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Mohamad turut berkongsikan gambarnya bersama sekumpulan anak muda yang ceria dan teruja dalam suasana sambutan Aidilfitri.

Bekas Menteri Pertahanan itu sejak dahulu lagi dilihat antara pemimpin Kerajaan Perpaduan yang popular dan disenangi dalam kalangan rakyat segenap lapisan usia dan kaum.

Beliau dikenali dengan kebolehannya berpidato spontan, lancar dan bersemangat diselangi seloroh serta menghadami situasi politik dunia di negara-negara Islam.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Kota Raja itu mengingatkan bahawa setiap daripada kita adalah pemimpin dan akan disoal atas apa yang dipimpin.

“Berusahalah menjadi pemimpin yang baik. Semoga Allah memberikan ganjaran di atas segala usaha kita,” tambahnya lagi.

Â