Masjid, surau di Selangor terus imarah, yang suram adalah ceramah pedas – Exco

Oleh HELMI MOHD FOAD dan AMIRUL AZHAN

Kerajaan negeri menepis dakwaan mengatakan tindakan tidak memberikan tauliah mengajar di masjid  serta surau kepada ahli politik menyebabkan kegiatan agama berkurangan dan suasana masjid di Selangor menjadi suram.

Exco Agama, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata apa yang dimaksud suram itu mungkin tiada lagi ceramah yang panas dan pedas.

“Ceramah ilmu tidak begitu memanas, jadi harus ada bersifat sentimen tapi sebenanya itu tidak membantu memberikan kefahaman dan mencerdaskan manusia.

“Perkara itu timbul kepada kelompok tertentu sahaja tapi kelompok lain makin menjauhkan daripada premis tersebut (masjid) kerana merasakan bahawa tempat itu tidak memberikan apa yang dia nak, akhirnya dia bina kelompok di rumah-rumah dan pengajian di premis lain kerana tidak dapat apa yang mereka hendak,” katanya ketika ditemu bual Harapan Daily di pejabatnya di Shah Alam semalam.

Mohd Zawawi berkata sebenarnya imarah masjid berlaku hebat sejak kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran Selangor pada tahun 2008.

“Masjid dan surau di Selangor terus makmur dan imarah dengan pelbagai aktiviti bahkan kerajaan tambah peruntukan elaun kepada imam dan nazir serta penambahan masjid baharu kerana permintaan daripada anak kariah.

“Surau dan musalla juga terus bertambah bahkan kadang-kadang keupayaan masjid nak solat Jumaat tidak dapat menampung, sebab itu dikeluarkan kebenaran surau solat Jumaat untuk menampung jumlah orang yang ingin menunaikan solat,” jelas beliau.

Mohd Zawawi menyatakan, perkata itu menunjukkan bahawa kesedaran dan keprihatinan umat Islam untuk laksanakan tanggungjawab mereka semakin bertambah.

“Program bukan kuliah Maghrib, kuliah Subuh saja (malah) kuliah dhuha, program motivasi anak-anak, smart solat program kembara, sambutan perayaan itu dilakukan di mana-mana masjid

“Ada masjid tidak pernah sunyi bahkan Masjid Negeri satu ketika dahulu 30 hari sepanjang Ramadan penuh ada jemaah beriktikaf di masjid, tidak balik kerana penuh dengan aktiviti.

“Mereka merasakan duduk di masjid memberikan banyak nilai tambah dan beri makna mendalam kepada ibadah mereka,” katanya.

Mohd Zawawi menjelaskan, tauliah diberikan kepada semua pihak yang layak dan dapat mengikuti aturan serta menjawab soalan yang diberikan.

“Soalan pun tidak susah, jadi kalau dapat jawab tuan-tuan guru layak dapat tauliah kecuali dia membawa fahaman dan ajaran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Itu akan timbulkan kejanggalan dan bertentangan dengan komuniti,” katanya.

Kata beliau pada asasnya tauliah tidak diberikan kepada ahli politik kecuali Exco Agama dan individu yang diberikan kebenaran oleh Sultan Selangor.

“Wakil rakyat yang pegang jawatan tidak dibenarkan (tauliah) kecuali bila sudah tidak ada jawatan politik dan mahu bergiat semula dalam dakwah boleh (mohon),” katanya.

Beliau menjelaskan tindakan beberapa aktivis politik terutamanya Perikatan Nasional (PN) menjadikan masjid sebagai platform untuk kempen politik dan menabur berita kurang benar telah menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah.

“Jadi perkara telah diperhatikan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan juga Sultan Selangor. Jadi baginda menitahkan supaya masjid tidak dijadikan medan untuk meraihkan populariti dan kempen politik, ia jelas tidak kira parti pemerintah atau pembangkang.

“Perkara ini juga diperluaskan kepada sekolah agama, pemimpin politik tidak dibenarkan berucap atau menghadiri majlis yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya.

Katanya, sistem tauliah diadakan adalah untuk memastikan penceramah di masjid merupakan mereka yang benar-benar menyampaikan ilmu dan sebaik-baiknya menggunakan kitab supaya ada rujukan.

“Kadang-kadang memang berkitab tetapi guna tajuk sedangkan huraiannya dah pergi ke tempat lain dan sentuh isu politik yang menyinggung hingga timbul keresahan jemaah,” ujarnya.

Dalam hal ini, beliau berkata tindakan yang bakal diambil oleh pihak JAIS adalah melalui aduan berserta bukti sama ada video atau gambar selain kerjasama daripada para jemaah.

“JAIS tidak mampu untuk memantau keseluruhan 420 buah masjid dan lebih 2,000 surau di Selangor,” katanya.

BACA JUGA: Exco agama sanggah tohmahan keji Pas