Masyarakat dunia puji idea kreatif remaja Malaysia bersolidariti untuk Palestin

Masyarakat dunia puji idea kreatif remaja Malaysia bersolidariti untuk Palestin

Kreativiti kanak-kanak dan remaja Malaysia yang berhimpun secara maya menyatakan solidariti kepada Palestin menerusi permainan video terkenal, Roblox, mendapat perhatian dunia sejak ia tular pada 24 Oktober yang lalu.

Dalam banyak laman media sosial, pengguna seluruh dunia menyatakan kekaguman mereka dengan idea itu sejak berita mengenainya tular.

Rata-rata pengguna media sosial menganggap kaedah solidariti bersama Palestin dalam kalangan remaja dan kanak-kanak itu mengagumkan.

Pengguna dari luar negara masing-masing memuat naik video respons kepada perhimpunan solidariti kepada Palestin,  selain menyifatkan kanak-kanak di negara ini dibesarkan dengan sebaiknya kerana walaupun masih kecil namun mengetahui apa yang sedang berlaku di dunia luar.

Menerusi video yang tular itu, kebanyakan mereka tidak pernah terfikir untuk menggunakan permainan video untuk berarak bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Hi Malaysia, negara awak kini sudah dikenali. Saya tidak pernah melihat rakyat yang bersatu padu untuk melakukan sesuatu dan saya sangat berterima kasih kepada rakyat Malaysia.

“Saya sangat terharu dengan perpaduan yang saya lihat dan dengar. Saya sangat berbangga dengan kanak-kanak ini, mereka belajar dengan sebaiknya.

“Perkara seperti ini yang akan mengubah dunia kerana kanak-kanak ini sudah memahami. Ibu bapa mengajar anak mereka dengan baik untuk mengetahui apa yang baik dan buruk mengenai dunia ini,” kata seorang pengguna TikTok.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja yang dikenali sebagai Razz menggunakan pendekatan kreatif untuk membangunkan pelayan (server) permainan video dalam talian diberi nama Dataran Tanjung Mas di bawah platform Roblox.

Istimewanya, permainan itu ia membolehkan pemain termasuk kanak-kanak bermain dengan berarak dan menyertai himpunan solidariti Palestin secara maya.

Percubaan Razz, 15, tidak sia-sia apabila permainan video itu mendapat sambutan ramai hingga tular dan mendapat ulasan ramai pempengaruh termasuk dari luar negara.

Ia juga hasil bantuan ‘streamer’ dan pencipta kandungan terkenal, Cikgu Zyd, 32, dan beberapa rakannya yang membantu mempromosikan permainan video yang boleh dimainkan oleh 200 pemain pada satu-satu masa.

Perarakan secara maya itu dapat melihat pemain membawa bendera Malaysia dan Palestin seolah-olah berada dalam himpunan sebenar.

BACA JUGA Keganasan Israel: Elon Musk umum akan aktifkan internet Starlink di Gaza

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )