Masyarakat madani dari pandangan Ustaz Fadzil Mohd Noor

Pesanan terakhir bekas Presiden Pas yang paling popular, Ustaz Fadzil Mohd Noor dalam muktamar terakhirnya pada 31 Mei 2002 menyebut tentang rangka utama pemerintahan Islam.

Muktamar itu berlangsung di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa dibawah tema ‘Memantap Iltizam Menyemarak Kebangkitan’. Saya hadir dalam muktamar pemuda dan juga muktamar Pas Pusat.

Saya masih ingat, lambaian Ustaz Fadzil kepada kami saf pimpinan pemuda Pas Pusat apabila dia meninggalkan dewan PUTIK dengan diiringi Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Setiausaha Agung Pas Pusat. Bendahari Pemuda Pas Pusat ketika itu, Haji Roslin Abdul Rahman berkata, “lain macam lambaian Ustaz Fadzil ni…. macam lambaian terakhir,” gurau dia dalam loghat Terengganu.

Selang seminggu dua selepas muktamar itu, Ustaz Fadzil menjalani pembedahan jantung di hospital UKM, Cheras. Pada 23 Jun 2002, Ustaz Fadzil pun menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan kita buat selama-lamanya. Selepas itu, kamipun bergegas memberi penghormatan terakhir di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena yang diasaskannya. Di situlah pusara persinggahannya.

Teringat katanya semasa ucapan penggulungan di muktamar tersebut, sukar untuk dia menghentikan ucapannya apabila berhadapan dengan orang yang dikasihinya. Katanya, seakan tidak mahu berpisah. Adat bertemu, pasti terpisah juga pada akhirnya.

Namun ada perkara yang direkodkan oleh Ustaz Fadzil untuk rujukan generasi masa hadapan. Dokumen teks ucapan presiden adalah bukti pemikiran ‘madani’ sebenarnya merentasi parti atau kelompok. Biasanya, buku teks ucapan presiden terbiar begitu sahaja sebagai cenderamata muktamar. Simpan sehingga tenggelam dek zaman berzaman.

Buku-buku mengenai perjuangan Pas ketika ia berkembang yang berada dalam simpanan penulis.

Ketika ini, saya sedang membuat kajian tentang teks-teks ucapan presiden Pas sejak kepimpinan Haji Yusuf Rawa hingga kepada presiden sekarang. Teks ucapan sepanjang dua dekad sebahagiannya telah dibukukan dan sesetengah kekal dalam buku teks ucapan asalnya. Hampir semua teks ucapan presiden Pas sewaktu era kepimpinan ulama ada disimpan di dalam perpustakaan peribadi saya.

Ternyata lebih dua puloh tahun dahulu, istilah ‘masyarakat madani’ pernah disebut oleh Ustaz Fadzil Mohd. Noor, sahabat baik Anwar Ibrahim. Anwar mengungkapkan kembali idea tersebut dalam satu majlis amanat yang berlangsung di Putrajaya minggu lalu.

Belumpun sempat tabir malam berlabuh, polemik ‘masyarakat madani’ tiba-tiba memenuhi ruang media daripada pelbagai pihak. Banyak ulasan, kritikan dan juga pujian terhadap amanat perdana menteri itu.

Dari kalangan intelektual, idea madani semacam mencetus kembali keghairahan terhadap idea-idea awal pencerahan masyarakat membangun seperti negara kita. Masing-masing mulai membuka nota kuliah universiti dan kitab di rak untuk bersama membahas. Itu satu sudut positif yang perlu kita raikan dan hargai.

Sebaliknya pada kaca mata kelompok yang jumud, naif dan buta akal, idea madani tidak memberi apa-apa makna pada mereka. Ia dianggap sekadar perbahasan buat orang atas-atasan atau orang yang berkuasa sahaja. Lalu, jika mereka mengulas, ulasannya akan menjadi satu jenaka dan bahan gurauan orang ramai sahaja.

Jika mengkritik, kritikan itu berbalut dengan kebebalan dan kesombongan yang tidak boleh dilayan. Sebaliknya jika memuji pula, sesetengah pujian berselaput mengampu dan membodek. Tidak kurang banyak yang memuji wacana tersebut secara ikhlas dan bercita-cita mulia.

Ustaz Fadzil dalam muktamar terakhirnya itu menyebut tentang tujuh rangka pemerintahan Islam yang dirancangkan akan didokumenkan untuk dikongsi umum.

Dokumen yang bertajuk ‘Negara Islam’ dikeluarkan oleh Pas setahun selepas pemergian Ustaz Fadzil mengambil kira cadangan dan pandangan terakhir Ustaz Fadzil. Walaupun terdapat beberapa kekurangan dalam buku tersebut, itu bukanlah persoalan penting. Ia adalah suatu proses pembinaan idea masyarakat yang ideal.

Ustaz Fadzil menyenaraikan rangka pemerintahan Islam seperti berikut:

1. Pembentukan masyarakat madani dan negara hadhari.

2. Prinsip kesaksamaan (al musaawah).

3. Kedaulatan undang-undang berdasarkan perundangan dan syariat Islam.

4. Pemerintahan berteraskan dan bermatlamatkan keadilan atau al ‘adalah.

5. Pemerintahan yang mendukungi prinsip as solahiyah (kelayakan) yang sebenarnya.

6. Negara berkebajikan.

7. Sistem pemerintahan yang dinamik dan inovatif.

Dalam ucapan tersebut, Ustaz Fadzil tidak menghuraikan lebih terperinci. Memadai untuk dia sekadar menyenaraikan untuk difikirkan bersama oleh mereka yang hadir.

Bahkan di dalam buku ‘Negara Islam’ juga tidak menyebut istilah ‘madani’ sebagai salah sebuah rangka pembentukan pemerintahan Islam. Walaupun begitu, buku tersebut ada menyebut istilah ‘negara ideal’ sebagai sebuah negara yang dinantikan kelahirannya oleh seluruh umat manusia yang menyintai keamanan dan keadilan sejati.

Istilah ‘negara ideal’ berakar umbi daripada idea pemikiran al Farabi (870-950 tahun masihi) yang diterjemahkan oleh sesetengah sarjana sebagai ‘masyarakat madani’ atau ‘civil society’. Tentu sekali ada perbezaan yang wujud di antara istilah-istilah yang berkenaan tetapi masih berada dalam satu makna yang tidak jauh.

Tulisan ini buat mereka yang terlupa, keliru atau alpa bahawa Islam adalah agama untuk semua. Islam adalah agama yang disebut di dalam al Quran sebagai ‘rahmatan lil alamin’. Islam tidak boleh dimilikkan untuk orang Islam sahaja. Sebagaimana al Quran dan ajarannya adalah untuk keperluan manusia dan alam.

Apatah lagi untuk memonopoli tafsiran agama dan agama itu sendiri suatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Hatta di kalangan ulama, perbezaan pendapat atau khilaf dianggap sebagai suatu rahmah. Tentunya perbezaan itu tidak sampai melampaui batas dan adab berbeza pandangan.

Samada John Locke (1632-1704), Thomas Paine (1737-1809), Rousseau (1712-1778), Montesquieu (1689-1755) atau kepada pemikiran Karl Marx (1818-1883), Antonio Gramsci (1891-1937), Frantz Fanon (1926-1961) dan sebagainya, idea ‘masyarakat madani’ dan ‘civil society’ adalah hasil pertembungan dan perkongsian tamadun manusia yang berfikir dan sentiasa mencari jalan kehidupan terbaik untuk manusia hidup bermasyarakat merentasi zaman.

Inilah jasa besar sarjana Islam terdahulu seperti al Farabi, al Ghazali (1058-1111), Mawardi (972-1058) dan lain-lain yang mempunyai pengaruh besar di dalam membawa dunia Eropah keluar daripada kegelapan. Idea-idea besar tidak dipisahkan oleh perbezaan agama, bahasa dan warna kulit.

Hanya manusia yang mempunyai kotak-kotak dalam pemikiran sempit sahaja sering dikejar bayang-bayang ciptaan sendiri. Jangan kerana idea itu datang daripada agama, bahasa dan warna kulit yang berbeza, ditolak. Idea yang baik adalah anugerah Tuhan tanpa memilih rupa wajah dan budaya kehidupan.

 

TULISAN SEBELUM INI

Ini bukan bunuh diri, tetapi pembunuhan

 


muhaiminsulam.blogspot.com

Â