Masyarakat Madani: Pembentukan insan potensi jamin kelestarian

Pembentukan insan menerusi keperibadian berpotensi menjamin kelestarian dan kemampanan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia bagaimanapun memerlukan kefahaman dan kemuafakatan semua pihak dan bukan perkara mudah yang mungkin boleh dicapai dalam tempoh singkat.

“Ia bukan satu benda mudah atau perkara yang mungkin boleh dicapai melalui tempoh singkat, tetapi ia memerlukan kefahaman dan juga kemuafakatan semua sama ada daripada pentadbiran tertinggi pengurusan kerajaan, melalui kertas dasar dan kertas putih yang akan dibentangkan, atau polisi yang ingin dikemukakan.

“Jadi kita yang bercita-cita hendak mewujudkan kerajaan MADANI atau sebuah Malaysia yang MADANI ini, bukan hanya diukur daripada apa yang berlaku di persekitarannya, tetapi kepada pembentukan insan dan pembentukan insan ini yang sebenarnya akan menjamin kelestarian dan kemampanan.

“Ini kerana kita bukan melahirkan hanya sistem yang mengekang, melihat, meneropong, tetapi juga manusia yang membentuk dan menjalankan sistem-sistem keperibadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghujahkan pandangannya mengenai Kemampanan dan Kesejahteraan dalam program Wacana Membangun Malaysia MADANI, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

 

BACA LAGI Gerakan mahu keluar PN?