Mat Sabu akan dedah punca Pas keluar Pakatan Rakyat malam ini 

Mat Sabu akan dedah punca Pas keluar Pakatan Rakyat malam ini 

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu akan mendedahkan punca sebenar Pas meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) lapan tahun lalu, selepas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ia disebabkan DAP menolak hudud.

Berucap pada Ceramah Perpaduan Pulai di Johor Bahru, semalam, Mohamad atau Mat Sabu berkata, beliau akan mendedahkan pembohongan dilakukan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di sebalik imej Islamiknya.

Beliau berkata, dakwaan Hadi akan dihawab dalam satu ceramah di Simpang Jeram, Muar malam ini.

“Semalam (kelmarin) presiden Pas ‘tembak’ mengatakan mereka tinggalkan PR kerana parti DAP tolak hudud. Saya tidak akan jawab malam ini, saya akan jawab malam esok (Isnin) di Simpang Jeram.

“Saya akan jawab malam nanti bagaimana presiden Pas membuat pembohongan kepada rakyat. Saya akan jawab satu persatu malam esok pembohongan itu.

“Aku bukan orang kecil, aku bekas Timbalan Presiden Pas. Jangan tipu rakyat di atas kopiah kamu itu, ‘no more’,” katanya seperti dilapor Berita Harian dalam satu ceramah PRK Pulai malam tadi.

Hadi dalam ucapannya di Markas Pas Bakri, Muar sebelum ini mendakwa, tindakan segelintir ahli dan bekas pemimpin parti itu, termasuk Mat Sabu yang menyertai AMANAH adalah kerana takut kalah dalam pilihan raya.

Hadi turut menyifatkan mereka sebagai lemah semangat sehingga sanggup meninggalkan dasar perjuangan Pas.

PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas ditubuhkan pada 2008 berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di parlimen ketika itu selain menawan Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak.

Bagaimanapun, gabungan itu terkubur tujuh tahun kemudiannya susulan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan DAP.

Sebahagian pemimpinnya termasuk Mat Sabu kemudiannya keluar parti dan menubuhkan AMANAH untuk menjadi sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH) yang merampas tampuk pemerintahan Putrajaya pada PRU2018.

Sementara itu, Mat Sabu yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata Pas dan sekutunya Perikatan Nasional (PN) sanggup menggunakan Islam demi kepentingan mereka.

“Sebagai contoh di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, ketika kempen mereka menggunakan isu sekolah agama dan tahfiz diarahkan tutup. Isu itu membuatkan pengundi Melayu percayakan mereka.

“Padahal arahan Sultan Selangor pada waktu itu supaya semua sekolah agama yang tak ikut peraturan dan standard piawaian mesti ditutup sebab boleh mengundang masalah dan mereka perlu buat pembaharuan jika mahu beroperasi semula.

“Isu itu menyebabkan Pas dan PN dapat sokongan sementara. Saya yakin pembohongan mereka itu tak boleh bertahan hingga empat tahun akan datang,” ujarnya.

BACA JUGA Hadi Awang biarkan Pakatan Rakyat terbubar sebab takut kalah pilihan raya

COMMENTS

Wordpress (0)