
Mat Sabu harap negara merdeka dari bergantung sumber makanan luar
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan harapan agar negara turut merdeka dari terus bergantung kepada makanan import yang menelan belanja lebih RM70 bilion setahun.
Beliau dalam ucapan sempena Hari Kemerdekaan Negara berkata, dunia ketika ini berdepan dengan ketidaktentuan iklim dan peningkatan harga makanan yang sekaligus memberi impak penduduk dunia.
Oleh sebab itu katanya, semua pihak perlu berusaha mulai detik ini untuk mencukupkan bekalan makanan dalam negara.
“Setelah 65 tahun merdeka, negara kita masih lagi bergantung kepada banyak sumber makanan dari luar.
“Kita masih tidak berupaya mencukupkan sumber bekalan makanan kita sendiri. Setahun lebih RM70 bilion wang negara dialir keluar untuk mencukupkan sumber makanan kita.
“Keadaan ini mesti diubah. Kita mesti memerdekakan dan kita mesti sama2 bertekad mencukupkan sumber makanan kita sendiri mulai sekarang,” katanya dalam satu video dimuat naik di Facebook miliknya.
Di awal video itu, Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu menceritakan kehidupannya sewaktu dibesarkan di Guar Petai, Seberang Perai di Pulau Pinang.
Pekerjaan utama orang kampung pada waktu itu kebanyakannya menoreh getah dan membuat bendang.
Malah Ketika di fasa awal kemerdekaan, kehidupan orang kampung digambarkan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sejajar dengan petumbuhan negara, Mat Sabu berharap Malaysia kembali digelar sebagai Tiger Of Asia dan memintas semula negara-negara lain yang terlebih dahulu ke hadapan.
“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-66, marilah sama-sama berusaha lebih gigih memastikan sumber dan bekalan makanan kita sentiasa cukup dan terjamin untuk semua. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
“Yakinlah kita pasti boleh lakukan perubahan dn bina semula negara kita” ujarnya.
BACA JUGA Ulama Pas tuduh mahkamah tidak adil, tetap anggap aset TH dijual