MB Selangor fail saman fitnah terhadap Sanusi

MB Selangor fail saman fitnah terhadap Sanusi

Menteri Besar Selangor memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan berkaitan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.

Peguam mewakili Amirudin, Haijan Omar, memetik BH berkata, salinan writ saman juga sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Muhammad Sanusi dari Tetuan Faizi Associates.

Saman terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah yang juga digelar ‘Panglima Perang Pas’ itu sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

“Kita sudah memfailkan prosedur tertentu dan akan masukkan memorandum bagi pembelaan selain kita juga minta injunksi yang akan dibuat dalam prosiding lain.

“Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk pengurusan kes,” lapor BH hari ini.

Sanusi Md Nor

Sanusi pada 2 Ogos lalu mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, dakwa Sanusi, taikun berkenaan akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sebanyak kira-kira RM180 juta.

Susulan ucapan Sanusi dalam Jelajah Mega PN Best itu, pasukan peguam Amirudin pada 9 Ogos lalu menyerahkan surat tuntutan kepada Sanusi memohon defendan meminta maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Dalam writ saman itu, Amirudin selaku plaintif menuntut defendan membayar ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang pemimpin PAS itu daripada mengulangi dakwaan berkenaan.

Kata Haijan lagi, penyataan fitnah itu diucapkan defendan bagi merendahkan reputasi plaintif di mata masyarakat atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan serta dicetuskan oleh niat jahat.

BACA JUGA Anwar peroleh injunksi sementara halang Sanusi ulang kenyataan fitnah

 

 

COMMENTS

Wordpress (0)