Mengapa tiada laporan di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan?

Dalam perkembangan terbaru presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang merangkap timbalan pengerusi Perikatan Nasional dan ahli parlimen Marang dilaporkan sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas.

Siasatan ini dibuat selepas laporan polis dibuat oleh Exco Pemuda AMANAH Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua AMK Selangor Izuan Kasim.

Laporan terhadap pemimpin Pas mula dibuat kerana kenyataan Hadi berkenaan usaha menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Banyak pihak yang turut membuat laporan polis kerana kenyataan Hadi itu dilihat sebagai biadab dan mengingkari Yang Di-Pertuan Agong.

Ini kerana kerajaan perpaduan diilhamkan oleh baginda dalam keadaan tiada gabungan politik yang mendapat majoriti yang diperlukan.

Berikut adalah kenyataan Hadi yang menjadi asas kepada laporan-laporan polis:

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, parti-parti komponen PH mempunyai jumlah kerusi yang tidak mencukupi dan terpaksa menggabungkan semua parti-parti kecil dan segala yang berpenyakit bagi mencukupkan jumlahnya dalam kerajaannya yang bergelora sebagaimana yang disaksikan oleh rakyat.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan ‘tebuk atap’, tetapi ‘atapnya bocor’, ‘pintunya terbuka’ dan ‘dindingnya pecah’,”katanya ketika membahaskan Belanjawan 2023.

Ramai pemimpin Perikatan Nasional lain turut sama mengulangi idea yang dilontarkan oleh Hadi. Antaranya ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Ahli Parlimen Larut dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Yang menjadi persoalan kepada penulis ialah, mengapa tiada pihak yang membuat laporan polis di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan terhadap Hadi, Hamzah dan mana-mana ahli politik yang membuat kenyataan seperti Hadi?

Seksyen 124 Kanun Keseksaan menjenayahkan sebarang aktiviti yang mengancam amalan demokrasi berparlimen di Malaysia. Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksima 20 tahun.

Di Malaysia parlimen bukan sahaja terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara malah meliputi Yang Di-Pertuan Agong.

Mungkin juga kalau tangkapan dibuat di bawah seksyan ini maka kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mahathir tidak akan berlaku.

Di dalam keadaan sekarang, kejatuhan kerajaan hanya akan memberikan isyarat negatif kepada pelabur dan pemerhati politik.

Oleh itu peruntukan undang-undang di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan wajar digunakan kerana ia mengancam sistem amalan demokrasi berparlimen Malaysia.