Menjelang Aidilfitri: Daging tempatan RM41 sekilo, kerbau import RM20 sekilo

Kerajaan menetapkan harga daging lembu tempatan kecuali bahagian batang pinang pada RM41 sekilogram manakala RM20 sekilogram bagi daging kerbau import.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, harga di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) itu bagi mengawal kenaikan harga bekalan daging secara mendadak pada musim Aidilfitri ini.

“Bagaimanapun terpulang kepada peniaga untuk menjual lebih rendah sama ada kurang RM2 atau RM3 daripada yang ditetapkan dalam pasaran,” katanya.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kasih Ramadan dan Sumbangan Agihan Wakalah Zakat Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Pertubuhan Kami Peduli Besut dan Pasar Raya PXR di Pekan Jabi, Besut hari ini.

SHMMP Hari Raya Puasa 2023 bermula sejak 15 April lalu dan berlanjutan sehingga akhir bulan ini.

Sebanyak 30 jenis barangan yang dikawal termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

BACA JUGA KPDN sambut baik peruntukan RM100 juta Jualan Rahmah – Salahuddin