
Menjelang pemilihan parti, AMANAH masih perlukan Mat Sabu
Ketua AMANAH Temerloh, Azizul Shah Mohd Noor berkata, pengalaman Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai ‘orang lama’ dalam politik masih diperlukan oleh parti sebelum peralihan kepada pimpinan baharu.
Mengulas desas-desus mengatakan ada usaha pihak tertentu cuba menukar presiden ketika pemilihan parti yang akan berlangsung Disember depan, Azizul berharap setiap ahli parti itu dapat terus menyokong Mohamad Sabu sebagai presiden sepenggal lagi.
“Pemilihan dan pertandingan dalam parti adalah proses matang dan demokrasi. Saya yakin ahli parti dan perwakilan dapat menilai dengan bijaksana.
“Biarlah Mat Sabu kekal bagi menghabiskan penggal terakhirnya sebagai presiden.
“Peranannya masih diperlukan parti sebelum peralihan kepada pimpinan baru yang pasti akan berlaku bila tiba masanya. Ibarat kata pepatah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus tepung jangan berserak,” katanya, lapor Sinar Harian.
AMANAH bakal mengadakan pemilihan Jawatankuasa Nasional Amanah untuk sesi 2023-2026, bersekali dengan penganjuran Konvensyen Nasional AMANAH 2023 di Lembah Klang pada Disember ini.
Sementara itu, Azizul berkata, AMANAH masih memerlukan kekuatan Mat Sabu sebagai presiden parti untuk memelihara dan mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Katanya, kesungguhan dan kesetiaan Mat Sabu bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti sejak zaman reformasi lagi
“Peranan Mat Sabu tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak di dalam parti,” katanya.
Menurut Azizul, situasi ketika Pakatan Harapan (PH) melalui saat getir apabila sekumpulan pengkhianat bersama dalam ‘Langkah Sheraton’ antara bukti jelas sokongan Presiden AMANAH terhadap kerajaan.
”Barisan kepimpinan parti diketuai Mat Sabu tetap setia dan bekerja keras mengekalkan perpaduan dalam PH.
“Satu ketika dulu, Mat Sabu lantang melawan UMNO, namun apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, beliau berlapang dada dan menerimanya demi rakyat serta masa depan negara.
“Beliau (Mat Sabu) sentiasa bekerja keras membantu PMX (Anwar Ibrahim) mengukuhkan kerajaan perpaduan dan parti.
“Kini hubungan AMANAH bersama UMNO dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan semakin akrab,” katanya.
BACA JUGA Masyarakat dunia puji idea kreatif remaja Malaysia bersolidariti untuk Palestin