Prestasi cemerlang menteri DAP diyakini mampu pikat sokongan rakyat

Timbalan Pemuda DAP Kebangsaan, Young Syefura Othman berpendapat prestasi cemerlang menteri DAP mampu memikat sokongan rakyat kepada parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau yang mesra dipanggil Rara berkata, pencapaian DAP sepanjang lima bulan Kerajaan Perpaduan mentadbir, mampu memberi impak kepada pengundi dalam PRN nanti.

“Pencapaian cemerlang menteri-menteri daripada PH terutama DAP juga sudah pasti akan memberikan kesan untuk menarik undi rakyat di enam negeri yang akan mengadakan PRN nanti.

“Saya yakin rakyat segenap lapisan kaum sudah pasti akan terbuka hati untuk menyokong gabungan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Jelas Ahli Parlimen Bentong itu, karisma dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merakyat juga disenangi.

Hal tersebut, jelasnya, memainkan peranan yang besar dalam mengekalkan kelangsungan Kerajaan Perpaduan memandangkan kesungguhan Anwar kepada tatakelola yang baik dan reformasi dasar yang diperjuangkan selama ini.

“Jika kita lihat melalui gabungan kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, banyak perubahan yang baik telah diperkenalkan. Polisi-polisi sebelum ini pula diperkasa untuk rakyat.

“Program dan polisi yang baik ini termasuklah dengan tatakelola kementerian dan agensi yang semakin baik. Bagi saya, sedikit sebanyak telah menawan hati rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, bekas ADUN Ketari itu berharap semangat Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dapat diserap dalam enam negeri terbabit selepas PRN nanti.

“Pandangan saya, gabungan PH-BN dalam Kerajaan Perpaduan kali ini adalah satu gabungan yang baik, yang banyak memberikan manfaat kepada rakyat,” tambah Rara lagi.