
Menteri harap lebih ramai usahawan buka ladang ayam di Pantai Timur
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap lebih ramai usahawan akan membuka ladang-ladang ayam di Pantai Timur.
Beliau berkata, industri ayam dan telur lebih banyak tertumpu di Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang manakala di Pantai Timur ianya perlu ditambah.
”Paling besar setakat ini adalah di Johor, tetapi di Pantai Timur ianya masih perlu ditambah. Kita tahu sekarang ini, reban ayam moden digalakkan dilakukan secara tertutup dan memerlukan perbelanjaan sekitar RM1.5 juta hingga RM1.8 juta untuk menternak 30,000 ekor ayam.
”Kita tahu di Kelantan dan Terengganu bukan semua tempat ditenggelami banjir. Oleh itu, kita harap akan ada usahawan-usahawan di peringkat negeri atau persekutuan berusaha membuka ladang-ladang ayam yang lebih banyak di sebelah Pantai Timur,” katanya dalam rancangan bual bicara Naratif Khas yang disiarkan secara langsung di TV1 malam tadi.
Dalam rancangan yang bertajuk ‘Belanjawan 2024: Tamat Subsidi Ayam, Apa Jaminan Buat Rakyat?’ itu, beliau diminta mengulas mengenai subtopik lokaliti kilang ayam lebih banyak tertumpu di Pantai Barat Semenanjung dan menyebabkan gangguan bekalan di Pantai Timur.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, beliau mengetahui bahawa kerajaan Terengganu juga memainkan peranan untuk memperbanyakkan ternakan ayam dan telur, bagaimanapun ia dilihat masih lagi belum mencukupi.
Justeru, beliau berharap ia dapat diaktifkan dan sama-sama berganding bahu kerana soal keterjaminan makanan adalah keperluan manusia dan melangkaui sempadan politik, kaum serta agama.