Menteri jemput pembangkang bincang pencerobohan nelayan asing

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengundang Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa-PN) untuk pertemuan empat mata di pejabatnya untuk memperincikan lagi persoalan berkaitan pencerobohan nelayan asing dalam kawasan perairan negara

Beliau berkata, jika Ahmad Marzuk berminat dan mahu bersama kerajaan mengatasi permasalahan bot-bot haram yang menceroboh perairan negara, beliau akan meluangkan masa selama 1 jam bagi membincangkan soal itu.

“Saya mengundang Pengkalan Chepa datang ke pejabat saya. Saya boleh luangkan satu jam untuk taklimat khusus sebagai maklumat tambahan bagi menunjukkan keterbukaan kerajaan dan kesediaan berkongsi maklumat sekiranya ada minat nak sama-sama atasi masalah nelayan asing,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini.

Saifuddin berkata demikian selepas menjawab persoalan Ahmad Marzuk agar kerajaan bertindak agresif menangani pencerobohan nelayan asing ekoran kebimbangan ianya akan datang berantai dengan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

Ahmad Marzuk juga mempersoalkan data Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan 223 bot nelayan asing telah ditahan setakat Disember 2022. Katanya ia terlalu sedikit kerana ada kira-kira 8,000 bot haram telah menceroboh perairan negara.

Menjawab persoalan itu, Saifuddin berkata, jumlah 223 bot itu hanyalah membabitkan bot nelayan Vietnam kerana soalan awal yang ditanya Ahmad Marzuk adalah berkenaan nelayan Vietnam di kawasan Laut China Selatan.

Menurut Saifuddin, kerajaan telah menggerakkan pelbagai usaha bagi menangani pencerobohan nelayan asing dalam kawasan perairan negara. Ini termasuk menggerakkan pemantauan 24 jam dengan kerahan seluruh aset jabatan berkaitan.

Lawatan kerjanya ke Bangkok Thailand baru-baru ini juga turut membangkitkan soal nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.

“Saya baru balik dari Bangkok adakan pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand, dan isu nelayan asing telah disinggung.

“Isu nelayan asing dalam kawasan kita akan mengundang ketegangan hubungan diplomatik kalau tak kena cara. Jadi saya dan PM Thailand bincang langkah-langkah.

“Kerajaan sedar kalau tak kawal, ia akan mendorong kepada aktiviti jenayah lain seperti dadah, pemerdagangan manusia, lanun dan seludup barang,” katanya.