
Menteri Pengangkutan diminta selesaikan isu lebuhraya DASH
Kini sudah hampir setahun lebuhraya DASH dilancarkan. Namun sehingga kini masalah pokok dari lebuhraya yang baik ini tidak selesai, sesak di hujung jalan.
Pengguna lebuhraya The Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH) sampai sekarang merungut, mereka dapat bergerak dengan pantas di atas lebuhraya ini namun tersangkut di penghujungnya iaitu ketika mereka mahu keluar dari lebuhraya ini di Kampung Melayu Subang.
“Sepatutnya lebuhraya ini menghubungkan lebuhraya Guthrie dengan baik tetapi ia hanya berlaku ke Shah Alam sahaja tetapi ke Rawang ia tersangkut.
“Padahal jika ia dirancang dengan baik, tidaklah berlaku kesesakan di Kampung Melayu Subang sebagaimana berlaku sekarang,” kata Mohd Al Junid, 45, seorang pengguna lebuhraya ini.
Lebuhraya ini bermula di Kampung Melayu Subang untuk penduduk dari utara yang menggunakan Lebuhraya Guthrie. Namun apabila penggunan mahu masuk dan keluar dari DASH, mereka tersangkut di sini.
“Bayangkan saya terpaksa lalui enam trafic ligt untuk keluar dari DASH masuk ke Guthrie.
“Padahal, alangkah baiknya jika DASH disambung terus ke lebuhraya Guthrie tanpa kita kena lalu enam trafic light tersebut.
“Kita tengah laju bawa melalui DASH tetapi sampai kat sini, terus sangkut. Lama pula tu,” kata beliau lagi.

Suasana waktu pagi di Lebuhraya Guthrie menuju ke DASH…sesak kiri dan kanan yang boleh diperbaiki.
Seorang lagi pengguna, Aspalela Abdullah, 35, yang tinggal di Denai Alam pula berkata, perkara ini telah beliau lalui sejak dari permulaan DASH di buka sejak November tahun lepas.
“Saya dah banyak kali komplen dan minta diperbetulkan, sebab ia masih boleh ditambah baik, tetapi sampai sekarang tiada sebarang tindakan dibuat,” katanya.
Lebuhraya Guthrie kini menjadi penjana kepada kawasan pertumbuhan baharu apabila banyak projek perumahan baharu di bina di kiri dan kanan lebuhraya ini.
Ia sepatutnya disambung secara langsung kepada lebuhraya DASH yang disiap dibina hujung tahun lepas tetapi ia tidak berlaku apabila ia hanya disambung ke hala selatan sahaja.
“Saya mintalah, Menteri Pengangkutan kita yang saya diberitahu sangat perihatin, menyelesaikan masalah ini,” kata Aspalela, seorang pegawai kanan sebuah syarikat korporat di Damansara Perdana.
BACA JUGA Pembangkang buat kecoh ketika PM mahu bentang Kajian Separuh Penggal RMK-12