
Menteri seru capai 100 peratus SSR beras negara
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru pihak yang berkaitan agar berazam mencapai 100 peratus Kadar Sara Diri (SSR) beras negara dalam masa terdekat.
Beliau berkata, pada ketika ini, kadar SSR beras negara adalah sebanyak 65 peratus.
“Buat masa ini, bekalan beras adalah mencukupi dan harga beras putih tempatan juga masih terendah di Asia Tenggara.

Sektor pengeluaran makanan lebih terdedah kepada pelbagai risiko dan ketidakpastian yang sukar diramal.
“Justeru, saya ingin mengajak semua yang ada di sini supaya berazam untuk mencapai 100 peratus SSR dalam tempoh terdekat.
“Saya kata boleh, kenapa tak boleh? Melainkan kita tidak mahu buat. Kalau kita usahakan dengan semua pihak, ianya boleh berlaku.
“Sekarang kita dapat purata 3.7 tan. Untuk bekalan beras cukup di negara kita ini, hanya memerlukan purata enam tan. Kenapa kita nak kekalkan pada tahap 3.7 tan sahaja?,” katanya pada Dialog Belanjawan 2024, Subsektor Padi dan Beras Negara, semalam.
Bagi mencapai sasaran enam tan itu, beliau berkata, usaha perlu diterapkan dalam pembajaan, penjagaan air termasuk penggunaan teknologi baharu.
“Kita tidak boleh pergi ke luar negeri, lihat kemajuan orang… kemudian balik ke Malaysia dan diam.
“Pergi tengok kemajuan orang, kita balik diam… Sebab itu sekarang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah bertindak. MARDI dirakyatkan, universiti dirakyatkan,” katanya lagi.
BACA JUGA Bekalan beras putih tempatan pulih dalam tempoh sebulan