“Menu Rahmah untuk semua rakyat, menu kasih sayang” – Salahuddin

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan inisiatif menu Rahmah yang diperkenalkan oleh kementeriannya tidak terbatas untuk golongan kurang berkemampuan sahaja.

Sebaliknya, beliau berkata menu pada harga murah sebanyak RM5 sepinggan itu adalah untuk semua golongan yang memerlukan.

“Menu Rahmah adalah menu rakyat, menu untuk semua orang, jadi sesiapa yang merasakan perlu untuk mendapatkan menu Rahman hanya RM5.

“Sesiapa pun boleh menikmati menu Rahmah kerana ia menu rakyat, menu kasih sayang,” katanya dalam rakaman klip video yang dimuat naik di Facebooknya.

Dalam pada itu, Salahuddin turut mengucapkan syukur apabila lebih banyak restoran dan francais yang menyambut baik inisiatif menu Rahmah tersebut.

Terbaru Chatime turut menawarka promosi minuman bobanya sebanyak RM5 manakala Mios Kitchen membuat promosi hidangan Grilled Chicken Chop sebanyak RM4.90 sepinggan.

“Alhamdulillah, lebih banyak restoran dan francais yang menyambut baik inisiatif RAHMAH.

“Terima kasih @chatime.malaysia @mioskitchen_official,” kata Salahuddin.

Salahuddin (tiga dari kanan) menunjukkan telapak tangan sebagai simbol harga Menu Rahmah sebanyak RM5 sahaja selepas merasmikan pelancaran inisiatif tersebut di Mydin Subang Jaya pada 31 Januari 2023. Foto FB Salahuddin Ayub

 

BACA JUGA: Menu Rahmah RM5 di 15,000 kedai dilancar KDPN