Menelusuri kritikan Ridhuan Tee terhadap UEC dan pendidikan Cina

OLEH: Lai Choy

Terdapat beberapa orang intelektual Cina yang didapati kurang arif akan bahasa Cina tetapi kuat mengutuk kaum sendiri dalam banyak isu.

Walaupun mereka ini sebenarnya berketurunan Cina dan mewarisi nama keluarga Cina, namun pemikiran mereka selalunya bercanggah dengan masyarakat Cina umum.

Penghujahan anti-Cina yang ekstrem daripada mereka itu sering kali mengguris hati orang Cina.

Antaranya, seorang pensyarah universiti, Tee Chuan Seng lantang suaranya.

Dia acap kali melemparkan hujah yang menakjubkan. Dia telah menganut agama Islam dan mengambil nama Islam, Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah atas sebab perkahwinan.

Tee suka menyindir orang Cina sebagai ultra “kiasu”. Malah, orang Cina disifatkannya tamak haloba, diberi betis hendak paha, lupa daratan dan tidak mengenang budi.

Baru-baru ini, menerusi video di media sosial, Tee didapati menghebohkan isu Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menuntut kerajaan agar mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC). Tindakan itu sememangnya modal dan gaya Tee.

Akan tetapi, pada kali ini dia menunjukkan bantahan yang berganda-ganda tentang perkara tersebut. Entahlah dari mana si pengkritik itu mendapat sumber berita bahawa kerajaan mungkin akan mengiktiraf UEC ataupun dia sengaja mempolitikkan isu tersebut?

Hujah pertama Tee adalah jika kerajaan mengiktiraf UEC setaraf dengan sijil-sijil yang sudah diakui kerajaan, maka ini akan mendatangkan musibah yang akhirnya memudaratkan negara termasuk masyarakat Cina sendiri.

Reaksinya itu barangkali  sudah keterlaluan. Kenapakah dia tidak sanggup memandang perkara itu secara positif?

Kedua, dia telah mengkategorikan pihak yang memperjuang untuk UEC sebagai “golongan perkauman”.

Sekiranya mereka yang berjuang untuk hak kaum yang sahih dikategorikan sebagai “golongan perkauman”, bagaimana pula dengan sebilangan pemimpin pertubuhan pendidikan kaum lain yang selalu menjadikan bahasa, kaum dan agama sebagai alat pempolitikan sehingga mengabaikan hak-hak yang sepatutnya dimiliki kaum lain?

Jelas sekali, pengetahuan Tee tentang orang Cina dan latar belakang  pendidikan Cina di negara ini amatlah tidak mencukupi.

Dia cuma tahu tokoh pendidikan Cina, Lim Lian Geok telah dilucutkan status kewarganegaraan. Adakah dia betul-betul memahami perjuangan pahit yang ditempuhi Lim dan pengorbanannya demi pendidikan Cina di Malaysia?

Orang seperti Tee ini berpegang teguh pada konsep “negara ini tanah orang Melayu”, tetapi mereka mengabaikan fakta pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan penggemblengan tenaga tiga kaum utama.

Semasa wakil-wakil tiga kaum utama berangkat ke London untuk menuntut kemerdekaan daripada kerajaan British, seorang wakil dari parti Cina yang memerintah dilaporkan sengaja mencicirkan memorandum bersama kaum Cina di hotel sehingga dokumen yang memuatkan permintaan am masyarakat Cina pada masa itu tidak dapat dibawa ke meja perundingan (rujuk artikel memoir Tunku Abdul Rahman).

Peristiwa tidak munasabah itu barangkali di luar pengetahuan pihak yang suka mengecam kaum Cina.

Sesungguhnya, sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, semua sekolah Melayu, Cina dan Tamil dikategorikan sebagai sekolah vernakular oleh pihak penjajah. Selepas kemerdekaan, sekolah Melayu menjadi sekolah kebangsaan, sekolah-sekolah aliran lain pula dikategorikan sebagai sekolah jenis kebangsaan.

Pengkategorian ini disebabkan perubahan politik. Andai kata tanpa keazaman teguh kumpulan pencinta pendidikan Cina dan Tamil, maka sekolah aliran Cina dan Tamil  mungkin telah lama hilang lesap di dalam negara.

Pada tahun 1996 semasa Dato’ Seri Najib Razak menyandang jawatan Menteri Pendidikan, beliau telah memansuhkan klausa yang memberikan kuasa mutlak kepada Menteri Pendidikan untuk menutup sekolah jenis kebangsaan pada bila-bila masa yang dianggap sesuai.

Tindakan rasional beliau itu telah mendapat pujian tinggi daripada masyarakat bukan Melayu.

Kini, UEC telah diiktiraf oleh banyak universiti utama di seluruh dunia. Selain belajar bahasa Cina, pelajar-pelajar sekolah menengah persendirian turut mempelajari bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Sesungguhnya, sekolah-sekolah menengah persendirian memberikan titik berat yang tinggi ke atas pembelajaran bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris.

Lepasan dari sekolah-sekolah ini juga menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam pelbagai sektor pekerjaan selepas tamat pelajaran atau pengajian dari universiti. Pendidikan aliran Cina telah membantu negara dalam pembangunan modal insan secara berkesan. Bukankah pengiktirafan UEC sudah kena pada masanya?

Barangkali Tee terlalu risau tentang pembelajaran bahasa kebangsaan tidak mencukupi dalam kalangan pelajar Cina. Namun, itu merupakan kebimbangan yang tidak berasas.

Pelajar-pelajar Cina sesungguhnya mempelajari dan menguasai tiga bahasa sejak sekolah rendah. Apabila mereka keluar dari pintu institusi pengajian tinggi, mereka sering menjadi rebutan majikan kerana menguasai tiga bahasa dan berhemah tinggi.

Kini, perkembangan pesat sekolah antarabangsa dan swasta di negara kita bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar penuh dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dilaporkan sekolah-sekolah swasta sebegini telah menarik 100 ribu pelajar Malaysia. Di samping itu,  kebanyakan universiti awam dalam negara juga sedang beransur-ansur menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium pengantar.

Trend mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa utama semakin menyemarak dalam kalangan masyarakat Malaysia. Bukankah fenomena itu lagi mengancam status bahasa kebangsaan, dan isu itu sewajarnya diberi perhatian yang lebih oleh RidhuanTee?

Lai Choy ialah seorang bekas akademik