‘Mereka pembangkang tidak bertanggungjawab’, Sany tempelak MP PN ‘ghaib’ sesi PMQ

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan hari ini menganggap pembangkang sebagai tidak bertanggungjawab, apabila tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) ‘ghaib’ ketika Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat.

“Saya rasa pembangkang yang ada pada hari ini, bukanlah pihak pembangkang yang bertanggungjawab.

“Ini kerana, setiap kali hari Selasa ada sesi PMQ bersama Perdana Menteri yang akan mendengar dan menjawab soalan dilontarkan ahli Parlimen.

“Seingat saya, Ketua Pembangkang (Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin), Yang Berhormat Pagoh (Tan Sri Mahiaddin Yassin) dan Yang Berhormat Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang), tidak muncul dan tidak bertanya soalan bagi sesi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harapan Daily ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran beberapa pemimpin pembangkang ketika sesi PMQ setiap Selasa ketika sidang Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Sany yang juga Pengarah Mobilisasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, sesi PMQ sepatutnya menjadi medan terbaik untuk pembangkang mengemukakan sebarang jenis soalan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PN wajar mengemukakan soalan tentang ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan lain-lain, bagaimanapun ianya tidak berlaku.

“Saya rasa setakat hari ini sudah tujuh minggu Parlimen bersidang dan belum sekali pun mereka ada dalam sesi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BACA JUGA Lebih lajak dari laju, PN ditempelak isu lawatan Anwar ke Arab Saudi