Mesyuarat khas setuju penjajaran fungsi pengurusan pekerja asing

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia hari ini selesai membentangkan tiga kertas cadangan mengenai pengurusan pekerja asing dalam negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata mesyuarat hari ini bersetuju dengan cadangan penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia supaya diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai custodian utama.

Namun begitu katanya, peranan Kementerian Sumber Manusia dari aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan pemuktamadan kerjasama dengan negara sumber akan terus diperkukuhkan.

“Para pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir akan perubahan dasar ini yang dijangka akan bermula pada 15 Januari 2023.

“Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola atau governance pengurusan pekerja asing,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat hari ini.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum.

Hal itu kata Saifuddin, bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.

“Antara lain, kelonggaran ini akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan untuk menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan.

“Perincian terhadap perkara ini akan dimaklumkan kepada semua pemegang taruh dari semasa ke semasa kelak,” katanya

Tegas beliau, ketika pembentangan kertas-kertas cadangan tersebut mesyuarat turut mengambil maklum dengan pembentangan wakil Kementerian Ekonomi yang mengetengahkan tentang unjuran keperluan penggunaan tenaga asing di Malaysia.

Sehingga 31 Disember 2022 terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia dengan sektor perkilangan mencatatkan jumlah pekerja asing paling tinggi iaitu 538,148 orang diikuti sektor pembinaan seramai 315,932 orang dan perkhidmatan seramai 221,621 orang.

Jumlah ini turut merangkumi 316,446 orang pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun 2022.

Tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal.