
Mesyuarat langsung tidak bincang rombakan Kabinet
Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini tidak menyentuh langsung mengenai rombakan Kabinet.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan mesyuarat juga tidak membincangkan mengenai sebarang jawatan Kabinet.
“Tidak ada bincang apa-apa jawatan. Tidak ada (rombakan). (Mesyuarat Jemaah Menteri) sudah habis. Saya di sini,” katanya, dipetik BH.
Pada 1 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan rombakan Kabinet berkemungkinan berlaku dalam masa terdekat.
Menurutnya, rombakan itu antaranya susulan kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Walau bagaimanapun, setakat semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau belum mempunyai keputusan berhubung rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilapor berkata, terpulang kepada Anwar untuk menentukan keperluan membuat rombakan Kabinet.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan tidak boleh memaksa atau memberi tekanan kepada Anwar untuk melakukan rombakan Kabinet memandangkan itu adalah kuasa mutlaknya sebagai Perdana Menteri.
BACA JUGA Rombakan Kabinet dalam masa terdekat – Ahmad Zahid