Minyak masak terpakai yang dikitar semula RM3 untuk golongan terkesan
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang melancarkan kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai yang berharga RM 3 seliter yang terhasil dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas dan syarikat swasta, BioLestari dengan harapan ia memberi pilihan kepada masyarakat – terutamanya golongan yang terkesan dengan kenaikan harga barang.
“Usaha ini dilihat amat membantu masyarakat awam terutamanya golongan yang memerlukan. Ia juga selari dengan komitmen Kerajaan Perpaduan yang berusaha meringankan kos sara hidup rakyat agar tidak terbeban,” ujarnya dalam sidang media di Komuniti Rukun Tetangga Bandar Tasik Puteri Rawang.
Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas, Dr Noh Hisham Hamid dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Noridah Abdul Rahim turut hadir dalam acara ini.
Menurut beliau, projek rintis tersebut akan bermula di sekitar Selangor dan Lembah Kelang melibatkan 94 kawasan rukun tetanga (KRT) sebagai langkah pemula sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Melalui program itu, Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit turut menyarankan KRT meningkatkan kreativiti baru dan berimpak selari dengan fokus kementerian untuk merealisasikan ‘Komuniti Rahmah’.