Misteri Michael Soosai – Bahagian 1

Misteri Michael Soosai – Bahagian 1

Ikan emas selalu dikatakan hanya memiliki daya ingatan sekitar 2–10 saat. Walaupun kajian saintifik sejak tahun 1950-an sudah membuktikan sebaliknya, lawak itu masih digunakan sehingga kini.

Malah, penduduk Malaysia dikatakan hanya memiliki daya ingatan selama dua minggu.

Sebab itulah setiap kali ada isu panas (politik, artis, sukan, agama atau apa sahaja), kita sering melawak bahawa orang Malaysia pasti akan lupa dalam masa dua minggu.

Maka, eloklah juga jika topik-topik tertentu diungkitkan dan diingatkan semula bagi membasahkan ingatan orang ramai dan pihak berkuasa yang mungkin terlupa.

Sewaktu menyelongkar koleksi akhbar lama dan bahan arkib, saya terjumpa satu siri kejadian yang masih menjadi misteri umpama sebuah filem thriller yang penuh mendebarkan.

Pada April 2005, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bahawa ada usaha licik sejumlah individu memalsukan kematian mereka untuk membolehkan waris menerima wang insurans yang agak lumayan.

Agak menarik kerana kes-kes itu terbongkar sewaktu pasukan khas menyiasat kemungkinan individu bernama Michael Soosai memalsukan kematiannya dalam usaha mengelak daripada dibicarakan dalam beberapa kes jenayah.

Polis percaya, wujud sindiket yang turut dibantu petugas bilik mayat untuk menukar mayat dan identiti orang tanpa disedari sesiapa sejak beberapa tahun sebelum itu.

Dua bulan kemudian, orang ramai yang mengikuti perkembangan kes “kematian” Michael digemparkan lagi dengan laporan media bahawa polis sedang menyiasat sebuah laman sesawang dipercayai menyiarkan data berhubung dakwaan penglibatan lebih sepuluh pegawai polis (termasuk seorang pegawai atasan) membantu kegiatan jenayah Michael.

Michael Soosai -Kisah hidupnya yang bergelumang dalam dunia jenayah menarik bagaikan filem yang kita tonton

Seperti sebuah filem thriller dari Hollywood atau Mollywood, Michael yang dipercayai berada di negara India mula semacam “membalas dendam” dan cuba mengalihkan tumpuan operasi pasukan khas dengan memaksa mereka turut menyiasat “orang dalam” yang dikatakannya bersekongkol dalam segala jenayah yang dilakukan.

Semakan keratan akhbar lama menunjukkan, sehingga tahun 2001, Michael yang berasal dari Pulau Pinang berdepan 16 tuduhan jenayah kolar putih, termasuk kes memalsukan cek bernilai lebih RM1 juta tetapi kesemua kes digugurkan apabila dimaklumkan tertuduh sudah meninggal dunia akibat sakit jantung.

Nama Michael yang lahir pada tahun 1963 kembali hangat diperkatakan apabila pada 12 Disember 2004, muncul desas-desus lelaki itu (yang disangka sudah meninggal dunia) menculik dan membunuh seorang pemandu lori bernama Subramaniam Nookaiah di Kanchipuram, India.

Tersebar berita bahawa pembunuhan berbentuk balas dendam itu susulan anak lelaki Subramaniam kahwin lari dengan anak gadis Michael.

Menurut laporan media, Subramaniam dan isterinya, S. Pallipillamah menerima tiket percuma untuk melancong ke India.

Namun begitu, selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chennai, pasangan itu diculik kumpulan tidak dikenali. Mayat Subramaniam ditemui pada 12 Disember 2004.

Pallipillamah membuat laporan polis dan mengesahkan Michael masih hidup serta telah menghubunginya sebanyak dua kali sesudah suaminya dibunuh.

Laporan media pada Jun 2005 kembali hangat dengan berita kononnya Micheal yang berdepan 17 tuduhan jenayah (termasuk satu kes pembunuhan) sejak tahun 1980-an berjaya memalsukan kematiannya dan melarikan diri ke India dengan bantuan “orang dalam” iaitu polis.

South China Morning Post (17 Jun 2005) melaporkan tentang laman sesawang khas yang dibuat oleh Michael untuk mendedahkan secara terbuka dan terperinci apa yang didakwanya bukti penglibatan beberapa pegawai polis berpangkat tinggi dengan pelbagai pertubuhan jenayah.

Dia dikatakan menghantar seorang lelaki dari India yang menyamar sebagai editor majalah Newsweek untuk membeli salinan pelbagai dokumen sulit dalam fail polis di Malaysia.

Laman sesawang itu didaftar di Amerika Syarikat, menggunakan alamat e-mel Singapura dan beroperasi di Patna, Bihar.

Orang ramai (termasuk saya) mula tertanya-tanya kemungkinan laman sesawang yang tiba-tiba muncul itu sengaja bertujuan mengalihkan tumpuan dan mematahkan semangat pasukan khas yang sudah mula menahan beberapa ahli keluarga Michael termasuk ibunya di Ipoh dan “balu”nya, S. Kumari untuk menyiasat kes pemalsuan sijil kematian.

Walau bagaimanapun, saya hairan juga membaca berita di sebuah akhbar Inggeris yang melaporkan Michael seorang penulis yang turut menghasilkan sebuah kamus Melayu-Inggeris di mana beberapa tokoh politik menulis prakata.

Saya tertanya-tanya juga kemungkinan timbul kekeliruan nama “Michael Soosai” dengan seorang penulis dan penterjemah tersohor tanah air, G. Soosai (1930-1991).

Mungkin juga kerana Michael pernah menggunakan nama Dr. Soosai untuk menjual sijil Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) palsu, selain menggunakan nama Michael Rajah dari Euro Credit Corporation, Pulau Pinang.

Selepas senyap seketika, nama Michael kembali hangat di media tempatan pada September 2007 iaitu selepas nama bekas majistret, Balbir Kaur yang dituduh menerima rasuah dikeluarkan dari senarai Interpol Malaysia dan polis menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha memburu Michael.

Laporan Bernama memetik kenyataan Bukit Aman yang mengesahkan nama Michael menduduki tangga teratas Notis Merah Interpol (Senarai Orang Yang Dikehendaki) dan polis sedang memantau pergerakannya di India.

Sementara itu, seorang bekas atendan Hospital Kuala Lumpur bernama K. Subramaniam dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan memalsukan sijil kematian Michael.

Turut dituduh menipu dan bersubahat ialah peniaga besi buruk bernama V. Sanjeev Kumar dan seorang lagi bernama J. Kumaresan, iaitu bekas tunang kepada anak perempuan Michael.

Atendan hospital itu menghadapi tuduhan memperdaya seorang doktor supaya mengeluarkan sijil kematian pengebumian bagi Michael pada 12 September 2003. Dia juga dituduh memalsukan daftar kematian dan permit pengebumian.

Semasa perbicaraan kes pada Jun 2010, Kumari memberi keterangan bahawa dia sendiri telah mengecam mayat suaminya di Hospital Kuala Lumpur selepas mendapat maklumat daripada Kumaresan tentang kematian Michael yang tidak pulang ke rumah selama tiga minggu.

Bahagian awal catatan ini diharap menimbulkan minat orang ramai – khasnya generasi muda – untuk mengetahui sambungan kisah ini pada minggu depan.


Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca

 

BACA JUGA: Akses buku bagi orang buta untuk atasi kebuluran buku

 

 

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    Call Michael Soosai +916380041522.Regret that A Prolific Writer like you is being persecuted in Malaysia. I shall return to Malaysia this year.