
Modul Hadis 40 patut disokong semua pihak
Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi wajar dan harus disokong semua pihak, kata aktivis politik dan tokoh pendakwah.
Ini kerana, usaha memperkenalkan dan memantapkan pengajaran Modul Hadis 40 Imam Nawawi di 61 buah sekolah Kebangsaan Agama dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebagai projek rintis adalah satu langkah yang sangat baik dan tepat, kata Shamsul Ma’arif Ismail, pendidik dan juga ahli politik.
Bagi aktivis gerakan dakwah Ikram itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini telah menyatakan dengan jelas bahawa modul berkenaan adalah untuk memupuk nilai-nilai yang terkandung dalam hadis tersebut.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), pelaksanaan modul baharu yang berasaskan hadis hanya disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja.
Inisiatif ini diharap mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti sesuai dengan konsep Malaysia Madani dan Kerajaan Perpaduan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Pengerusi AMANAH Selangor itu.
“Jika projek rintis ini berjaya sekalipun tidak menjadi masalah untuk diperluas kepada sekolah di bawah KPM tahun depan kerana mata pelajaran Pendidikan Islam telah pun sedia ada dalam kurikulum kebangsaan untuk pelajar beragama Islam di semua sekolah kebangsaan.
“Bagi yang bukan beragama Islam mereka telah disediakan subjek Pendidikan Moral,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, bantahan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) serta Perikatan Nasional (PN) melalui Gerakan dengan dakwaan hasrat itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta hak kebebasan beragama adalah tidak tepat sama sekali dan jauh tersasar dari kefahaman Perlembagaan.
Pihak MCCBCHST sewajarnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu dan bukan mempersoalkan dasar ini dan menimbulkan kegusaran masyarakat bukan Islam, katanya.
Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 3(1) Islam adalah agama Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan.
Menyatakan bahawa Islam adalah hanyalah untuk ibadat resmi dan ritual adalah satu kesalahfahaman yang sangat tidak tepat dan tidak merujuk dari sumber yang sahih, katanya.
Katanya, status Agama Islam sebagai Agama Persekutuan tidak sama dengan mana-mana agama di dalam negara ini. Malaysia adalah sebuah negara Islam dan bukan sebuah negara sekular.
“Sebagai sebuah negara Islam, pihak kerajaan berhak mengadakan apa-apa syor mahupun cadangan yang sesuai bagi kepentingan Islam, namun mestilah mengambil kira juga hak dan kebebasan rakyat yang bukan beragama Islam untuk mengamalkan agama mereka,” katanya.
Di Malaysia kedudukan Agama Islam dipelihara dan ditadbir oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang diletakkan di bawah Majlis Raja-Raja Melayu yang diPengerusikan oleh Baginda DYMM Sultan Sharafudin Idris Shah, Sultan Selangor dan JAKIM sebagai Urusetianya. Perkara ini telahpun dilaksanakan sejak 17 Oktober, 1968 lagi.
Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa:
“Tiap-tiap kumpulan agama berhak menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi pendidikan kanak-kanak dalam agama kumpulan itu sendiri, dan tidak boleh ada diskriminasi semata-mata atas alasan agama dalam mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan institusi-institusi itu atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang itu; tetapi adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu”
“Kesimpulannya, mana-mana pihak wajar tidak mempersoalkan usaha pihak Kerajaan dalam memperkasa Pendidikan Islam di SMKA mahupun SABK mahupun memperbaiki atau mengukuhkan mata Pelajaran Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan kerana ianya selari bahkan sejajar dengan kedudukan Islam dalam negara Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Shamsul.
BACA JUGA Gerakan bantah Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah, mana suara Pas?