Modul Penghayatan Hadis 40 dilaksana melalui subjek Pendidikan Islam

Modul Penghayatan Hadis 40 dilaksana melalui subjek Pendidikan Islam

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan inisiatif Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi melalui mata pelajaran pendidikan Islam.

Pejabat KPM dalam kenyataan berkata, projek rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam itu akan dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dikembangkan ke sekolah-sekolah melalui mata pelajaran berkenaan.

Pelaksanaan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi itu juga tidak akan melibatkan murid bukan Islam.

“Penghayatan Hadis 40 ini juga penting serta signifikan untuk menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.

“KPM komited untuk melaksanakan inisiatif Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kerana ia akan memberi impak positif serta gambaran sebenar mengenai nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia,” kata pejabat KPM.

Pada 19 Ogos lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan untuk memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Menurut laporan mengenai pelancaran itu, modul tersebut dibangunkan atas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu hadis itu diajar di sekolah.

Sementara itu KPM memberitahu, ruang dialog akan dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama KPM iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh.

Pada semalam, Fadhlina juga selesai menganjurkan pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pelbagai latar belakang masyarakat pada.

Pertemuan itu antara lain membincangkan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaannya dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan pendidikan negara.

Menurut pejabat KPM, pertemuan berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak dalam membina Malaysia MADANI berdasarkan kepada formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

“Sesi pertemuan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif KPM,” ujarnya.

BACA JUGA Ulama Pas tuduh mahkamah tidak adil, tetap anggap aset TH dijual

COMMENTS

Wordpress (0)