Mogok kakitangan hospital: Menteri Kesihatan gesa berunding

Mogok mengejut (unannounced strike) yang mungkin melanda hospital kerajaan dispekulasikan akan berlaku akibat keadaan kerja petugas perubatan yang tertekan boleh ditangani secara perundingan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, mogok tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya mungkin hanya menyulitkan pesakit yang mendapatkan rawatan.

“Saya sebenarnya mendengar akan dilakukan unannounced strike ini dan sama ada berlaku atau tidak berlaku saya sendiri pun tak ada kepastian

“Apa pun saya minta supaya semua yang mungkin terlibat atau pun yang cuba terlibat dalam perkara ini kena tahu bahawa semua itu tidak menyelesaikan masalah. Jadi yang terbaiknya ialah kita bersemuka dan semua boleh datang jumpa kepada saya

“Saya sebenarnya sangat faham tentang masalah itu. Latar belakang saya sendiri sebagai seorang doktor menyebabkan saya memang faham benda itu, dan saya bertekad sebenarnya untuk menyelesaikan masalah ini. Kalau boleh selesai, hari ini juga saya akan selesaikan,” katanya dalam aplikasi TikTok.

Bagaimanapun, Dr Zaliha tidak mengancam untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana mana kakitangan perubatan yang akan melancarkan mogok, sebaliknya beliau meminta mereka bertemu dengannya pada bila bila masa untuk meluahkan masalah dan bersama sama mencari kaedah penyelesaian terbaik.

“Kita kena faham bahawa ini memerlukan sedikit masa untuk saya memahaminya lebih dalam, untuk memahamkan perkara ini dengan sebaik baiknya supaya penyelesaian terbaik kita dapat laksanakan.

“Saya minta kepada anda semua berfikir dengan cara yang lebih matang, dengan cara yang lebih baik. Boleh datang berjumpa saya. Berhubung dengan pegawai saya dan kita bertemu, bersemuka. Akhirnya kita sama sama dapat menyelesaikan masalah ini dan semua sebenarnya akan mendapat kebaikan,” katanya.

Untuk rekod, kakitangan perubatan di Malaysia pernah melancarkan Hartal Doktor Kontrak (HDK) pada 26 Julai 2021 bagi menuntut keadaan kerja lebih baik dan diserapkan ke jawatan tetap.

Namun hartal tersebut mengambil masa separuh hari serta tidak begitu menjejaskan hospital kerajaan pada waktu itu.

BACA JUGA PN tak hapuskan pinjaman PTPTN, jangan politikkannya