MOSTI harap mampu hasilkan vaksin khusus untuk denggi

Kerajaan berharap negara mampu menghasilkan vaksin manusia yang memberi pengkhususan kepada virus denggi.

Buat masa ini, tiada rawatan secara khusus dapat diberi kepada pesakit demam denggi kerana tiada vaksin yang mampu mencegah penyakit itu manakala penggunaan antibiotik juga tidak membantu untuk merawat pesakit.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, untuk menghasilkan vaksin merawat virus denggi, kerajaan perlu membangunkan vaksin manusia terlebih dahulu sebelum memutuskan jenis vaksin yang akan dikembangkan.

“Dari segi sains, kita perlu ada kapasiti untuk membangunkan vaksin manusia. Selepas itu, baru kita masuk dalam apa jenis vaksin yang kita akan kembangkan.

“Saya harap pada satu hari akan datang, kita juga boleh menghasilkan vaksin seperti denggi dan lain-lain,” katanya ketika ditanya tentang perancangan menghasilkan vaksin khusus merawat penyakit berbahaya itu.

Chang Lih Kang

Untuk rekod, jumlah kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sepanjang 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 150.7 peratus atau 39,737 kepada 66,102 kes berbanding 26,365 pada 2021.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian akibat komplikasi denggi tahun lalu pula ialah 56 berbanding 20 bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan 36 kematian atau 180 peratus.

Chang menambah, buat masa ini pihak kementerian dan kerajaan Malaysia masih belum ada pengkhususan ke arah penghasilan vaksin khusus merawat demam denggi.

“Hari ini baru termeterai perjanjian MoU. Belum ada pengkhususan apa-apa,” katanya lagi.

Sementara itu, Chang turut mengalu-alukan lebih ramai syarikat pengeluar vaksin dalam negara menyertai Pelan Halatuju Pembangunan Vaksin Negara (NVDR) ke arah mencapai hasrat Malaysia sebagai negara pengeluar vaksin manusia.

Chang berkata, kerajaan dijangka menghasilkan vaksin manusia pada 2030 yang tidak hanya difokuskan untuk rakyat Malaysia, tetapi juga akan dibawa keluar pada negara lain.

“Penghasilan vaksin manusia bukan untuk kegunaan orang Malaysia sahaja, kita target boleh jual pada negara-negara lain,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Bioteknologi Nasional Malaysia (NIBM), Pfizer Malaysia dan Malaysian Vaccines and Pharmaseutical (MVP) Sdn Bhd.

BACA JUGA Vaksin manusia dijangka siap 2030 hadapi gelombang virus baharu