
MP kerajaan syor KL dikembali kepada Selangor
Selepas 49 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan, wujud cadangan agar ibu negara dikembalikan kepada Selangor.
Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) berkata, pengembalian itu dalam usaha mewujudkan Metropolitan Mega KL yang baharu.
Menurutnya, syor tersebut memastikan Metropolitan Mega KL dapat dibangunkan secara makmur dan lestari, selain mengambil kira pembangunan di Kuala Lumpur sudah mencapai tahap tepu.
Beliau berkata, perancangan pengangkutan awam bersepadu, penambahan rumah mampu milik serta perancangan bandar secara holistik amat diperlukan supaya Lembah Klang tetap berdaya saing berbanding Bangkok, Thailand; Jakarta, Indonesia dan Ho Chi Minh, Vietnam.
“Kita tidak nafikan Kuala Lumpur dan Selangor berkembang pesat dalam empat dekad ini. Selangor menrekodkan 11.9 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) manakala Kuala Lumpur (9.2 peratus).
“Peratusan ini melepasi pertumbuhan KDNK negara sebanyak 8.7 peratus, pada 2022.
“Justeru, saya mencadangkan metropolitan Kuala Lumpur diwujudkan dengan pengembalian Kuala Lumpur ke Selangor supaya Metropolitan Mega KL dapat terus dibangunkan secara makmur dan lestari,” ujarnya.
Pemimpin PKR itu berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Lee Chean Chung
Chean Chung berkata, pihaknya yakin langkah itu antara lain mampu memudah cara pembangunan sedia ada, selain pengembalian itu membolehkan warga Kuala Lumpur menikmati 42 Inisiatif Iltizam Rakyat acuan kerajaan Selangor.
Katanya, pengembalian itu juga membolehkan pengangkutan awam dirancang secara lebih rapi, selain membantu merealisasikan projek perumahan mampu milik susulan bank tanah yang dimiliki Selangor.
Beliau berkata, pengembalian Kuala Lumpur ke Selangor itu wajar dibuat bagi memenuhi keperluan terkini peningkatan sosioekonomi dan pengurusan pentadbiran lebih cekap.
“Sudah tiba masanya kita merangka pembangunan Selangor dan Kuala Lumpur yang lebih terancang dan berdaya saing, selain mewujudkan pengangkutan awam lebih moden, perumahan mampu milik serta berkualiti, bukan hanya di Lembah Klang, tetapi untuk seluruh negara.
“Hari ini kita lantang mahu mengatakan Selangor mampu menjadi ‘economic powerhouse’ yang akan bersaing dengan bandar mega lain seperti Singapura, Jakarta dan Hanoi.
“Jadi, cuba bayangkan sinergi ekonomi yang mampu kita cipta dan peroleh daripada gabungan Kuala Lumpur dan Selangor ini?
“Putrajaya pula boleh kekal sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan,” kata Chean Chung lagi.