MP Pas Kepala Batas kena ‘sekolah’ dengan pengerusi pembangunan masjid

MP Pas Kepala Batas kena ‘sekolah’ dengan pengerusi pembangunan masjid

Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad ‘kena sekolah’ dengan Pengerusi Pembangunan Masjid Bandar Putra Bertam, Dr Azman Hussin berhubung status pembinaan masjid di kawasan itu.

Azman menasihati lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah di Universiti al-Azhar itu supaya mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkaitan bukannya bersikap tidak wajar seperti melontar dan bersembunyi.

“Saya berasa tidak wajar sebagai seorang berpendidikan tinggi, (Mastura) bertanya pada audiens (tentang status projek pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam).

“Sepatutnya, beliau bertanya kepada saya atau pun pihak jawatankuasa pembangunan atau jawatankuasa kariah atau menelefon terus ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) Pulau Pinang, bertanyakan status masjid.

Siti Mastura Muhammad

“Dapatkan data-data. Barulah beri ulasan kepada pendengar-pendengar di luar sana,” katanya dalam satu klip video penjelasan yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada ceramah Mastura semasa kempen pilihan raya yang antara lain mempersoal status pembinaan masjid tersebut selepas majlis pecah tanah diadakan pada November tahun lalu.

“Dah pecah tanah tapi tak tahu apa statusnya?” soal Mastura yang sebelum ini tular apabila memasukkan kehadiran dalam majlis kenduri kahwin dan kesyukuran selain ziarah kematian dalam kad laporan 100 hari Ahli Parlimen Kepala Batas.

Mengulas lanjut, Azman memberitahu projek pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam memperoleh sumbangan sebanyak RM7 juta dengan RM4 juta daripadanya adalah daripada Kerajaan Persekutuan yang dikendalikan ICU Pulau Pinang.

Azman Hussin dalam tangkap layar video yang tersebar di media sosial.

Menurutnya, sebanyak RM2 juta adalah daripada kerajaan negeri manakala selebihnya daripada komitmen anak kariah dan sumbangan wakaf orang ramai.

Jelasnya, kesemua sumbangan diterima telah pun berada dalam tabung pembangunan kariah masjid dan pembinaan bermula pada Disember 2023.

“Kita jangan melontar dan sembunyi. Bagaimana semasa nak dapatkan PhD? Bagaimana data dikutip untuk tujuan kajian? Mestilah ada etika.

“Saya nak beritahu, kalau berkaitan Masjid Bandar Putra Bertam, sila bertanya terus kepada pihak-pihak terlibat.

“Jangan kita mengaitkan sesuatu isu itu dalam ceramah… ini sangat tidak baik dan sangat tidak wajar,” nasihat Azman lagi kepada Mastura yang berkelulusan doktor falsafah (PhD), Pengurusan dan Pembangunan Islam dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Dikenali sebagai Ustazah Siti Mastura, dia menjadi wakil rakyat di Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, November tahun lalu selepas menewaskan calon BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Dia yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang menang dengan majoriti 2,867 undi atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pengarah Ameerah Malaysia iaitu sebuah entiti wanita muda Pas itu memperoleh 28,604 undi, manakala Reezal Merican dengan 25,737 undi.

Dua lagi calon iaitu Danial Abdul Majeed (Muda – PH) serta Hamidi Abu Hassan (PEJUANG) masing-masing memperoleh 14,214 dan 747 undi.

BACA JUGA Kad Laporan 100 hari Mydin vs MP Pas jadi tumpuan netizen

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )