Muda intai peluang bertanding PRN Selangor

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sedang mengintai peluang bertanding di dalam pilihan raya negeri Selangor.

“Secara dalaman, di dalaman, pimpinan telah mengadakan perbincangan berkaitan pilihan raya negeri Selangor,” kata presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, lapor Malay Mail.

“Bila tiba masanya, kami akan umumkan pendirian kami tetapi kami ingin beri ruang kepada Pakatan Harapan dan Majlis Presidennya untuk memberi respon agar kita boleh mencapai keputusan bersama yang akan menjaga keharmonian kerajaan perpaduan.

Muda merupakan parti pro-PH tetapi tidak menjadi anggota PH setakat ini. Dari sudut perwakilan, Syed Saddiq ialah ahli parlimen Muar manakala Amira Aisya adalah ahli dewan undangan negeri Puteri Wangsa di negeri Johor.

Syed Saddiq turut menafikan ura-ura bahawa partinya cuba menyertai pakatan pembangkang – Perikatan Nasional.

Beliau sebaliknya menyatakan bahawa mereka berusaha menyertai PH.

“Kami telah menghantar empat pucuk surat kepada rakan-rakan di dalam kepimpinan PH dan sedang menunggu jawapan balas.

Selain Selangor, lima negeri lain akan turut menyaksikan pilihan raya negeri tahun ini iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

BACA JUGA: Selangor kekal di tangan PH, prestasi cemerlang tiga penggal jadi sandaran