Muhyiddin perlu tumpu kes mahkamah, bukan tohmah kerajaan – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan nasihat agar Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tumpuan terhadap kes mahkamah yang dihadapinya daripada melemparkan tohmahan terhadap kepimpinan kerajaan.

Perdana Menteri berkata dakwaan Pengerusi PN bahawa pertuduhan terhadapnya merupakan satu bentuk pemangsaan politik terancang telah dijawab oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM).

“Apa lagi dia nak kata, bagi saya dia tumpukan kepada kes mahkamah sajalah.

“Jawab di mahkamah, pertuduhan pun sudah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Sabtu.

Anwar menyampaikan Anugerah Wadi Air Bawah Tanah kepada Lembaga Air Perak (LAP) pada sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Ipoh pada 10 Mac 2023. Hadir sama Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Air Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Perdana Menteri ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU semalam yang menyifatkan pertuduhan terhadapnya adalah satu ‘pertuduhan terancang’.

Beliau mendakwa keputusan untuk membuat pertuduhan ke atas beliau sebenarnya dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum siasatan dilengkapkan.

Berikutan itu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan semalam menegaskan bahawa keputusan untuk membuat pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan dan fakta hasil daripada penyiasatan, dan bukan atas desakan mana-mana pihak atau faktor lain.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengeluarkan kenyataan bahawa pendakwaan terhadap seseorang itu tidak melibatkan campur tangan mana-mana pihak.

Semalam Muhyiddin dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden BERSATU telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd bagi sekutu parti itu antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bekas Perdana Menteri itu menjadi pemimpin BERSATU ketiga didakwa atas tuduhan jenayah selepas bekas Ketua Penerangan Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lepas Wan Saiful didakwa di mahkamah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

BACA JUGA: SPRM tegaskan siasatan Jana Wibawa tidak libat campur tangan mana-mana pihak