Nadir bumi RM1 bilion dicuri: Bekas YB gesa suruhanjaya siasatan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeniri, Mahadzir Abdul Hamid menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang dekat Sik.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia itu menganggarkan nilai sebenar REE yang dipercayai dicuri dalam tempoh hampir dua tahun tentunya melibatkan angka yang besar dengan anggaran mencecah RM1 bilion.

Mahadzir berkata, tiada tindakan yang tegas dan drastik diambil oleh pihak berkuasa walaupun beliau dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menggesa pihak berkuasa bagi menyiasat sepenuhnya isu kecurian REE di kawasan hutan simpan itu.

“Pelbagai maklumat telah disalurkan kepada pihak berwajib seperti gambar kenderaan yang disyaki, pergerakan kenderaan berkenaan, lokasi-lokasi yang terlibat dan masa keaktifan perbuatan salah pihak berkuasa seperti Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah, pihak PDRM dan pihak SPRM turut dimaklumkan, namun kesudahannya tiada tindakan yang berkesan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kedegilan dan kerakusan Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu seperti mencabar pihak berkuasa.

“Ini ekoran tindakan bodoh dan angkuh beliau selaku ketua kerajaan negeri yang sewenang-wenangnya mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat Jangka Minerals Sdn Bhd serta Xiamen Tungsten Co Limited dari China pada 11 Januari 2023.

“Tindakan berkenaan secara terang-terangan membelakangi peraturan dan perundangan yang ada, bahkan dilihat hanya bersifat terburu-buru, angkuh, tidak bijak dan memalukan kerana melibatkan syarikat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berpendapat pemberian lesen tersebut secara jelas menyalahi akta dan undang-undang negara yang menyentuh tentang bidang kuasa kerajaan pusat dan negeri dalam meluluskan sesuatu lesen pengeluaran mineral di dalam bumi.

Mengulas kenyataan Sanusi yang menyasarkan kerajaan negeri akan mendapat hasil sebanyak RM600 juta menerusi hasil REE, Mahadzir berkata, pemimpin Pas itu pasti tahu dan yakin bahawa hal tersebut mustahil dicapai.

“Adakah dengan tindakan mengumumkan perolehan hasil sebanyak RM600 juta ini sebagai satu ugutan dan kerajaan pusat akan disalahkan seandainya sasaran hasil ini tidak dapat dicapai?

“Saya juga merasakan bahawa Menteri Besar (Sanusi) juga dilihat bagaikan lepas tangan apabila tidak mengambil pengajaran dan langkah-langkah yang lebih serius selepas kejadian kecurian pertama apabila memberikan kelulusan carigali dalam tempoh beberapa bulan sahaja dari tangkapan pertama dilakukan.

“Sebesar manakah kuasa beliau dalam soal ini sehingga sanggup membelakangi undang-undang yang sedia ada?

“Mengapa penjenayah berkenaan serta dalang-dalangnya tidak terus diburu dan diheret ke mahkamah yang pastinya mahkamah mampu menjalankan proses perbicaraan yang lebih teliti dan menyeluruh dan adil, bukannya melalui kompaun?” tambah Mahadzir lagi.

 

BACA JUGA Sanusi dikecam selepas dakwa KPKT ancam kepentingan kaum