Nugalendran dilantik Ketua Setiausaha KBS berkuatkuasa hari ini

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Kebudayaan Sains) Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti), Dr K Nugalendran (gambar, kanan) dilantik sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kenyataan media yang dimuat naik di Facebook beliau.

Menurut Mohd Zuki, pelantikan itu adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan, pengalaman luas dan pengetahuan beliau dalam pembangunan generasi masa hadapan.

Katanya, dengan pengalaman dan kredibliti dimiliki, beliau percaya kemampuan Nugalendran untuk menerajui KBS juga dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan profesional.

”Ia adalah dalam usaha memenuhi aspirasi Malaysia Madani ke arah mewujudkan golongan belia yang patriotik, bersatu padu, berdisplin, dan berbudaya sukan demi perpaduan dan pembangunan negara.

”Beliau juga telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik bermula pada 25 Januari 1995 dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Tabir Urus Biodiversiti dari University of Nottingham.

”Selain itu, beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Pengurusan Alam Sekitar, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia (USM),” ujarnya.

Sebelum ini, katanya, Nugalendran yang berusia 53 tahun itu, pernah memegang beberapa jawatan di pelbagai bidang seperti sumber manusia, perancangan dasar dan teknologi strategik di Mosti.

BACA JUGA ‘Kabinet bayangan’ PN bakal diumum