Nahas Elmina terjawab hari ini, boleh diakses di laman sesawang MoT

Nahas Elmina terjawab hari ini, boleh diakses di laman sesawang MoT

Selepas hampir sebulan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 di Bandar Elmina, Shah Alam, laporan awal tragedi yang meragut 10 nyawa itu sudah dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan (MoT), jam 10 pagi tadi.

Laporan berjumlah 26 halaman itu, antara lain bermula dengan pengenalan dan sinopsis, fakta mengenai pesawat dan tragedi menyayat hati pada 17 Ogos itu.

Turut dimuatkan dalam laporan siasatan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) MoT itu ialah teknik penyiasat dan diakhiri dengan rumusan serta hasil siasatan.

Kandungan lain dalam laporan siasatan nahas pesawat dinaiki lapan individu itu ialah punca tragedi berkenaan, data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

Siasatan awal mendapati pesawat terbabit mempunyai sijil kelayakan udara sah dan diselenggara mengikut peraturan.

Pesawat malang itu juga dilapor mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Bagaimanapun, pesawat itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.

“Kejadian berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan keadaan meteorologi yang baik.

“Tiada bukti ketidaupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.

“PIC dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada,” memetik laporan itu.

Hasil siasatan turut mendapati juruterbang pesawat terbabit telah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, pada jam 2.47 petang.

Seminit selepas itu, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberi dan dalam beberapa saat, pesawat Beechcraft Premier 1 itu menerima maklum balas berkenaan.

Namun, tiada transmisi radio kedengaran dari pesawat itu sebelum nahas dilaporkan hingga meragut 10 nyawa termasuk dua pengguna jalan raya yang berada di lokasi tragedi.

 

COMMENTS

Wordpress (0)