Naik taraf jalan RM227 juta surai masalah kesesakan di Rawang

Masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) sepanjang 3.2 kilometer akan berakhir sebaik sahaja kerja naik taraf jalan bernilai RM227 juta, siap kelak.

Projek menaik taraf jalan termasuk pembinaan sebuah jambatan merentasi Sungai Rawang yang bermula pada 22 Ogos 2022 dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 Ogos 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, berkata projek ini bakal mengatasi kesesakan teruk yang dialami di bandar Rawang serta kawasan sekitarnya setelah puluhan tahun menantikannya.

Katanya, projek naik taraf jalan itu dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan berkenaan berikutan kapasiti jalan sedia ada adalah rendah dan tidak dapat menampung keperluan trafik sebenar.

“Isu kesesakan disebabkan masalah jalan sempit di laluan tersebut akan dapat diatasi apabila kerja menaik taraf jalan yang berjumlah RM227 juta ini dapat disiapkan kelak.

“Kalau sekiranya projek ini siap, ia akan menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas keseluruhannya di kawasan Rawang,” katanya kepada Harapan Daily ketika di wawancara, pada Selasa.

Projek ini merupakan projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kontraktor yang dilantik ialah Pertama Makmur Sdn. Bhd.

Jalan berkembar empat lorong sepanjang 1.3 kilometer serta jalan berkembar enam lorong sepanjang 1.9 kilometer dengan piawaian U5 dari simpang FT01 (Jalan Persekutuan Kuala Lumpur – Ipoh) ke Plaza Tol Rawang.

Ia turut melibatkan pembinaan dua buah jejantas pejalan kaki, menaik taraf persimpangan aras tanah di persimpangan Kuala Garing (J1), persimpangan B25 Bristol Kuang iaitu persimpangan Rawang Intergrated J3, persimpangan Kota Emerald J4 dan persimpangan Taman Belmas Johan.

Chua berkata, perancangan bandar yang tidak terurus pada masa lalu juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas berlaku di Taman Tun Teja dan kawasan Garing kerana hanya mempunyai satu laluan keluar masuk sahaja untuk penduduk di situ.

Katanya, perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah dilakukan supaya di masa hadapan pihak pemaju dapat menyediakan jalan alternatif sebagai pilihan buat penduduk.

BACA JUGA Selangor tekad rapatkan jurang kemiskinan, elak individu berlagak ‘Robin Hood’