
Nazri angkat sumpah ADUN Simpang Jeram
ADUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman selesai mengangkat sumpah jawatan hari ini pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kedua DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Majlis angkat sumpah diadakan di hadapan Speaker DUN Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sambil disaksikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan ADUN Johor yang lain.
Memetik Bernama, Puad yang juga ADUN Rengit merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Salahuddin Ayub atas pemergian beliau pada 23 Julai lepas.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada bekas Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat dan Nazri, atas kejayaan masing-masing memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada PRK 9 Sept lepas.
Nazri, 56, memenangi kerusi DUN Simpang Jeram dengan 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional Mazri Yahya yang memperoleh 10,330 undi. dan calon bebas S Jeganathan.
PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin, yang juga Timbalan Presiden AMANAH.