Negara Madani: Elok Presiden Pas jumpa PM Anwar

Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menerusi Minda Presiden Pas telah menulis panjang lebar mengenai negara madani.

Ahli Parlimen Marang itu antara lain menegaskan bahawa acuan madani yang berbeza daripada petunjuk Allah dan teladan Rasulullah SAW, pasti akan menemui kegagalan yang sama seperti tamadun sebelumnya.

Malah, Hadi dalam tulisannya bertajuk, “Negara Madani Acuan Allah” itu berkata, acuan madani yang berlainan daripada petunjuk-Nya akan gagal seperti “tamadun yang sedang membakar diri sekarang”.

Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkenaan turut mengingatkan bahawa umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea masyarakat sivil yang dianggapnya “dibawa oleh mereka yang tidak beriman” seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, dan Montesquieu.

“Demikian juga, tidak boleh terpengaruh dengan pembawaan teori liberal kapitalisme oleh Adam Smith serta teori komunisme dan sosialisme dan melalui Karl Marx, Antonio Gramsci, Frantz Fanon, dan sebagainya.

“Terdapat kalangan ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan mereka, namun teori mereka itu semuanya tidak berpijak di alam kenyataan yang berjaya dalam sebuah negara Islam yang terpengaruh dengannya,” tulis Hadi.

Anwar ketika Program Wacana Membangun Negara Madani dan Amanat Perdana Menteri untuk Malaysia pada 19 Januari lalu.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal tersebut juga meminta supaya perkataan madani tidak diguna sewenang-wenangnya.

“Justeru, jangan diwarnakan perkataan madani sewenang-wenangnya, kerana al-Quran ialah mukjizat ilmu yang kekal cahayanya bagi menyuluh seluruh perjalanan hidup manusia sehingga kembali bertemu Allah SWT,” katanya.

Kupasan mengenai negara madani oleh Abdul Hadi dilihat tidaklah jauh dengan hasrat Anwar jika kita mencermati amanat Membangun Negara Madani oleh Perdana Menteri.

Bahkan, tulisan Hadi itu boleh dianggap memperkuat gagasan Malaysia Madani yang menjadi kerangka dasar baharu untuk negara.

Semak semula halaman 31, buku Membangun Negara Madani. Enam intisari kerangka dasar Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, tegas Anwar, merupakan cerakinan daripada perintah Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran.

Jelas Anwar lagi, kerangka dasar Madani juga adalah cerminan daripada keperibadian dan ketokohan junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW.

Penegasan Abdul Hadi mengenai negara madani acuan Allah dilihat turut selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk mengangkat martabat dan maruah diri, keluarga serta masyarakat dan Malaysia tercinta.

Elok juga Abdul Hadi bertemu Perdana Menteri Anwar dengan mengetepikan perbezaan politik kepartian untuk berbincang dan memperhalusi cita negara madani.

Hal ini memandangkan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bertekad menjadikan wawasan Malaysia Madani sebagai dapat “menjamin kesejahteraan rakyat, melawan kebobrokan dan kebejatan rasuah, penyelewengan dan ketidaksamarataan.”

Sidang Parlimen yang bakal berlangsung selama 29 hari mulai 13 Februari 2023 ini juga adalah ruang untuk Abdul Hadi dan ahli Parlimen pembangkang lain bersuara.

Memperbaiki rekod kehadiran ke sidang Dewan Rakyat, Abdul Hadi selepas ini tidak perlulah lagi hanya menulis panjang-panjang atau ayat orang sekarang – ‘sembang kencang’ untuk ‘mengajar’ Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

Sebaliknya, Abdul Hadi kena lebih rajin dan kerap hadir ke Parlimen untuk menambah baik gagasan Malaysia Madani sesuai dengan tugas pembangkang sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan.