Negeri Sembilan komited majukan tanah terbiar

Kerajaan Negeri Sembilan yang diterajui Pakatan Harapan (PH) komited untuk memajukan tanah terbiar dengan projek pertanian bagi memenuhi keperluan negeri.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Ir Bakri Sawir berkata, usaha itu selaras tumpuan kerajaan negeri yang meletakkan Jaminan Makanan sebagai agenda utama dalam Belanjawan 2023.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 juta setiap tahun bagi membangunkan tanah terbiar sebagai galakan kepada pemilik tanah.

“Kita juga memberi bantuan sehingga RM15,000 bagi setiap hektar tanah termasuk baja, racun dan anak benih,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang itu berkata demikian ketika ditanya mengenai iniasitif berkaitan pertanian yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Bakri yang juga merupakan Naib Pengerusi AMANAH negeri optimis bahawa komitmen kerajaan negeri boleh merangsang potensi baru dalam pertanian.

“Bilangan hektar tanah adat terbiar semakin berkurangan dan sebahagian daripadanya dijadikan sebagai projek pertanian oleh pengusaha tanah.

“Kami juga memahami keterbatasan para petani dengan mengurangkan keluasan tanah agar mereka lebih mudah, memulakan semula tanah terbiar tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam hal yang berkaitan, Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM11 juta bagi merangsang potensi bidang pertanian pada Belanjawan 2023.

BACA JUGA Tabung Agro: Rakyat boleh dapat pinjaman tanpa faedah maksimum RM100,000