Negeri Sembilan peruntuk RM13 juta perkasa pendidikan

Peruntukan hampir RM13 juta oleh kerajaan negeri untuk pembinaan bangunan baharu di Kampus Gentam, Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS), membuktikan sektor pendidikan sememangnya antara yang diberi tumpuan.

Mengimbau kembali saat mendapatkan laporan status kolej yang terletak di daerah Kuala Pilah itu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan, ia pada mulanya berada dalam keadaan sangat daif dan menyedihkan.

“Sejak 2018, KYNS merupakan institusi pendidikan yang cukup dekat di hati sanubari dan keprihatinan utama saya.

“Situasi sangat daif dan menyedihkan selepas saya mendapatkan laporan mengenai status kolej ini.

“Saya dapati keadaan bangunan, kemudahan pembelajaran, kemudahan penginapan pelajar berada dalam situasi yang sangat daif dan menyedihkan.

“Perkara itu benar-benar menyentuh hati saya,” tulis beliau dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Aminuddin memuat naik hantaran itu sempena Majlis Konvokesyen ke-9 kolej itu yang dirasmikan oleh beliau, bertempat di sebuah hotel di Seremban pagi tadi.

Seramai 580 graduan yang merupakan anak-anak Negeri Sembilan telah menerima skrol tamat kursus kemahiran sepenuh masa yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Menurut Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, selepas detik yang benar-benar ‘menyentuh’ hatinya itu, kerajaan negeri pimpinan beliau telah meluluskan RM10 juta untuk pembinaan bangunan baharu di Kampus Gentam, Kuala Pilah.

“Ia telah disiapkan dan diserahkan kepada pentadbiran Kolej pada 25 Mei 2022. Setelah bangunan siap, kerajaan negeri seterusnya meluluskan peruntukan sebanyak RM2.9 juta lagi, bertujuan menaiktaraf kemudahan penginapan pelajar dan kelengkapan pembelajaran yang sewajarnya,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap pelajar dapat memanfaatkan penambaikan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri denganmeningkatkan kecemerlangan diri, sama ada daripada segi sahsiah, ilmu dan juga kompetensi diri masing-masing,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA PH Negeri Sembilan cakna keperluan, tidak bezakan asnaf