Negeri Sembilan sumbang RM1,000 kepada penggali kubur

Sebagai tanda menghargai jasa dan bakti penggali kubur, Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju menyumbangkan sebanyak RM1,000 kepada golongan berkenaan di negeri itu.

Menurut Facebook Menteri Besar Negeri Sembilan insentif ‘one-off’ itu adalah salah satu inisiatif dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2023 dengan peruntukan berjumlah RM900,000.

”Usaha ini adalah sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada penggali kubur yang sentiasa berkhidmat tanpa mengira waktu.

”Semoga mereka sentiasa diberkati dan dilindungi dalam melaksanakan tuntutan fardhu kifayah ini, InsyaAllah,” tulis di laman sosial itu, semalam.

Dengan sumbangan tersebut, rata-rata pengguna di ruangan Facebook, memuji langkah diambil Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang dilihat prihatin terhadap setiap lapisan golongan masyarakat.

Pengguna Facebook, yang menggunakan nama Hairy Ery menyifatkan, pengurusan oleh individu yang ‘betul’, membuatkan ramai pihak mendapat manfaatnya.

”Bila mana pengurusan kerajaan diurus oleh orang yang benar, pasti banyak pihak yang terjamin,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna laman sosial itu, Kamanizam Tindek pula berkata, insiatif itu sebagai sesuatu yang patut diberikan kepada golongan penggali kubur di negeri Adat Perpatih itu.

”Terbaik Datuk Seri Aminuddin Harun. Memang patut mereka itu diberi penghargaan sedemikian,” pujinya di ruangan komen.

Untuk rekod, kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun telah menyediakan sebanyak 64 inisiatif pelbagai bidang untuk memastikan kelangsungan hidup rakyat di negeri berkenaan.

Inisiatif itu merangkumi pemerkasaan ekonomi rakyat, kebajikan, pendidikan, modal insan, pembangunan belia dan wanita serta pentadbiran.

BACA JUGA Kontrak menantu bekas PM: Isu NIISe dibentang kepada Jemaah Menteri Jumaat ini