Nismilan Prihatin: ‘Ikan memang segar, harga telur pun murah’

Sepanjang hampir lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan, banyak pelaksanaan iniasitif terutama dalam menangani kenaikan kos sara hidup telah membantu rakyat.

Tinjauan Harapan Daily di Flat Perumahan Rakyat (PPR) Senawang mendapati rata-rata penduduk berpuas hati dengan iniasitif Nismilan Prihatin yang menawarkan barang makanan lebih murah berbanding harga pasaran.

Ita

Surirumah dikenali sebagai Ita, 55, berkata program jualan barang mentah mampu milik itu amat membantu dirinya mendapatkan barangan asas memandangkan dirinya seorang warga emas.

“Barang mentah memang murah contohnya ayam yang saya beli cuma RM13 berbanding di pasaran mencecah RM18.

“Bukan itu sahaja, harga telur dan ikan pun lebih murah banding dengan harga di tempat lain,” ujarnya ketika ditemui Harapan Daily.

Roszita

Senada dengannya, penerima asnaf, Roszita, 51, memuji kualiti barangan dapur yang amat baik dan berbaloi untuk dibeli.

“Memang baguslah program ini. Kualiti ikan memang segar. Harga telur pun memang murah sesuai untuk golongan B40 macam kami,” ujarnya.

Untuk rekod, kerajaan negeri telah memperuntukan RM5 juta dalam Iniasitif Nismilan bagi mengurangkan kenaikan kos harga barang di negeri tersebut.

Dalam masa, Kerajaan Negeri Sembilan turut melaksanakan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) yang memberi bantuan RM3,000 secara terus kepada usahawan mikro yang ingin memulakan perniagaan.

Sementara itu, bekas pemandu ambulans, Wan Aziz Wan Abdullah, 50, berkata, TUNS bukan sahaja memberi bantuan khusus kepada pengguna tetapi juga kepada dirinya yang merupakan usahawan kecil.

“Alhamdulillah, saya diberi peruntukkan one-off RM3,000 untuk saya membeli barang dan memulakan perniagaan ABC (air batu campur),” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, memperuntukkan RM107 juta dalam Belanjawan 2023 dengan bertema Melunas Janji, Menggalas Harapan.

Dalam kerangka tersebut, kerajaan negeri mengumumkan penambahan dana sebanyak RM1 juta dalam program jualan ladang bagi memberi manfaat terus kepada rakyat.

BACA JUGA Asnaf OKU di Negeri Sembilan lega dibantu