Nurul Izzah bantu belikan 15 motosikal baharu setelah musnah terbakar

Meskipun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tampil membantu membelikan 15 motosikal baharu untuk penduduk yang hilang kenderaan itu untuk mencari rezeki setelah musnah dalam kebakaran di Flat Tuna Seberang Jaya baru-baru ini.

Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR berkata, setelah menerima mesej daripada penduduk terlibat, beliau bersama wakil rakyat Machang Bubuk, Lee Khai Loon serta beberapa individu bekerjasama mengumpul dana.

“Saya team up dengan YB Lee Khai Loon dan cuba cari jalan untuk menyelesaikan isu rakyat di Seberang Jaya ini.

“Alhamdulillah, kami berdua, berkat sumbangan juga hamba-hamba Allah SWT lainnya mampu meraih wang sebanyak RM30,000 untuk membantu meringankan beban mereka.

“Kami pergi ke kedai motor dan membeli Modenas Kriss MR3. Asalnya, harga motor ni dalam RM4,000 sebiji (sebuah) tetapi akhirnya dibeli pada harga RM3,500 seusai proses rundingan.

“Saya tersentuh. Owner (pemilik) kedai sangat baik dan prihatin, beliau bagi diskaun, bila tahu tentang usahasama demi membantu keluarga berpendapatan rendah di Seberang Jaya. Syabas!” katanya dalam hantaran di Facebook.

Nurul Izzah berkata beberapa hari lalu, beliau menerima mesej daripada seorang penduduk Seberang Jaya meminta bantuan apabila 15 penduduk di Flat Tuna Seberang Jaya bagai jatuh ditimpa tangga apabila motosikal yang mereka miliki hangus dalam kejadian kebakaran.

“Itu sajalah mod pengangkutan yang ada untuk pergi kerja, menghantar anak ke sekolah, membawa ahli keluarga sakit ke hospital dan macam-macam lagi.

“Penduduk yang terjejas ni semuanya dari keluarga berpendapatan rendah, justeru sukar dan tidak mampu membeli ‘kuda’ baru.

“Ya, saya bukan lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, namun ramai penduduk yang datang memohon bantuan daripada saya.

“Mereka juga ada bertemu wakil rakyat kawasan, tetapi mereka datang kepada saya dengan permohonan ini kerana masih menantikan penyelesaian. Syukur Alhamdulillah, kadang-kadang rezeki datang daripada pelbagai sumber rezeki,” katanya.

Jelasnya, berkat dukungan pasukan dan sukarelawan, proses mengeluarkan lesen, cukai jalan, insurans, dan isi minyak penuh tangki selesai.

“Insya-Allah, semoga token kecil ini dapat membantu mereka mencari pendapatan dan meneruskan kehidupan. ‘Kuda’ dah ada, bolehlah pergi mencari rezeki semula.

“Saya sedar, saya bukan lagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, tapi Permatang Pauh sentiasa di hati saya, selama-lamanya,” kata Nurul Izzah lagi.

Nurul Izzah berbual dengan salah seorang mangsa yang kehilangan motosikal yang musnah terbakar di Flat Tuna Seberang Jaya.  Foto FB Nurul Izzah

 

Nurul Izzah dan Lee Khai Loon mengisi minyak penuh tangki ke dalam motosikal baharu untuk mangsa kebakaran di Flat Tuna Seberang Jaya.

Dalam pada itu, netizen mempersoalkan tentang peranan Ahli Parlimen Permatang Pauh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dari Perikatan Nasional (PN) dalam membantu mangsa kebakaran itu.

Mereka berkongsi hantaran Muhammad Fawwaz berdoa untuk mangsa ketika meninjau kawasan kebakaran pakir motosikal di Flat Tuna Seberang Jaya.

Kebakaran berlaku pada 23 Februari lalu, jam 5 pagi menyebabkan 15 buah motosikal musnah dijilat api dan hampir keseluruhan struktur parkir musnah akibat kebakaran tersebut pada awal bulan ini.

“Semoga mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi ujian. Boleh jadi Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang lebih baik bilamana datang ujian seperti ini,” katanya.

Namun, seorang pengguna media sosial dipercayai penyokong PN berkongsi tangkapan layar mesej dengan Muhammmad Fawwaz bahawa wakil rakyat tersebut sudah menguruskan bantuan zakat dan proses membaik pulih kawasan parkir motosikal itu.

BACA JUGA: Nurul Izzah bukan lagi penasihat kanan ekonomi dan kewangan