Nurul Izzah layak, berpengalaman sebagai anggota PAC

Serangan bertali arus ke atas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tidak sewajarnya berlaku.

Menurut Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, tidak timbul isu nepotisme dalam pelantikan tersebut kerana Nurul mempunyai kelayakan memadai untuk tugas berkenaan.

Katanya, Nurul boleh menggalas beban sebagai penasihat kerana beliau boleh menjadi jambatan penghubung suara generasi muda dan rakyat marhaen kepada PM.

“Wanita PKR menyambut lantikan Nurul Izzah, saban generasi terpaksa menanggung beban berikutan ketandusan bakat untuk berkhidmat demi negara.

“Kami yakin dan percaya dengan kepemimpinan Naib Presiden PKR itu dalam menggalas amanah ini,” katanya.

Fadhlina mengingatkan para pengkritik bahawa Nurul berpengalaman sebagai ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.

Katanya Nurul telah membuktikan beliau berjaya memastikan setiap sudut khazanah dan dana awam terjaga sewaktu menganggotai PAC.

“Selain itu Nurul Izzah turut berjaya melakukan anjakan paradigma kepada perspektif ekonomi pasca pandemik dalam penyediaan laporan Kajian Kemiskinan Multidimensi,” kata Fadhlina lagi.

Kelmarin Anwar menegaskan pelantikan Nurul sebagai penasihat tidak menerima sebarang bayaran elaun dan tidak perlu dipertikaikan.

BACA JUGA Izzah tiada kuasa, hanya beri maklum balas kepada PM sahaja