Pak Lah, Najib punca Wawasan 2020 gagal atau salah Tun M sendiri? – Kit Siang

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak punca kegagalan Wawasan 2020, ia menguatkan lagi hujah beliau agar sidang perlu Parlimen dilanjutkan selama dua hari lagi untuk membahaskan mengapa gagasan itu tidak tercapai.

Penasihat DAP berkata ketiga-tiga bekas Perdana Menteri ini patut dijemput untuk membentangkan kertas kepada Parlimen sebelum perbahasan dilakukan mengenai mengapa Wawasan 2020 telah gagal.

“Mahathir menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan Wawasan 2020 dengan Malaysia kini lebih korup, tidak bersatu padu, dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa Wawasan 2020 dilancarkan pada tahun 1991.

“Adakah Mahathir tepat dalam mengatakan Abdullah dan Najib bertanggungjawab atas kegagalan Wawasan 2020?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menyalahkan Abdullah dan Najib atas kegagalan negara mencapai taraf negara maju seperti digagaskan dalam Wawasan 2020.

Malaysia ditadbir oleh tiga Perdana Menteri dalam tempoh 30 tahun iaitu antara 1991 sehingga 2020 untuk memenuhi matlamat Wawasan 2020 iaitu Dr. Mahathir (1991–September 2003), Abdullah (September 2003–April 2009), Najib (April 2009–Mei 2018) dan sekali Dr. Mahathir (Mei 2018–Februari 2020).

Sebelum ini Kit Siang mencadangkan agar sidang Dewan Rakyat ditangguh dua hari iaitu 5 dan 6 April bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan mengapa Wawasan 2020 gagal dicapai.

Kit Siang menegaskan penting untuk negara mencari punca mengapa Wawasan 2020 menemui kegagalan dengan Malaysia kini lebih korup, tidak bersatu padu dan terpolarisasi dengan isu perkauman dan keagamaan berbanding dengan semasa gagasan itu dilancarkan pada tahun 1991.

“Dengan kadar dan hasil usaha pembinaan negara bangsa sebegini dalam 30 tahun dari 1991 hingga 2020, Malaysia bakal menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah dan kleptokratik dalam tiga dekad yakan datang.

Justeru itu, beliau menyatakan sekiranya rakyat tidak mahu melihat Malaysia menjadi negara gagal, berpecah belah dan kleptokratik menjelang usia 100 tahun pada 2057, semua pihak perlu bermuhasabah dan menyelidik mengapa Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya belum dapat dicapai setakat ini.

“Adakah Mahathir tepat dalam mengatakan Abdullah dan Najib telah mengkhianati pencapaian Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya.

“Atau adakah benih-benih kegagalan telah disemai oleh Mahathir sendiri semasa pemerintahan 22 tahunnya walaupun peningkatan rasuah, salah guna kuasa, dan polarisasi perkauman dan keagamaan meningkat lebih banyak dalam tahun-tahun selepasnya terutamanya semasa pemerintahan Najib,” soal Kit Siang.

Kit Siang turut mempersoalkan adakah boleh kembali semula kepada prinsip asal pembinaan negara bangsa seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Selain itu, beliau juga bertanya; “Adakah negara ini mampu menghentikan kemerosotan negara dan mengembalikan potensi sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia dan bukannya menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah dan kleptokratik?”

Dalam pada itu, beliau juga melontarkan persoalan sama ada Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya sebagai prinsip asas pembinaan negara.

“Adakah Mahathir masih percaya dengan Wawasan 2020 dan sembilan cabaran strategiknya ini?” soalnya.

BACA JUGA: Nasihat terakhir kepada Mahathir Mohamad