Pakej internet jalur lebar untuk B40 serendah RM69

Pakej internet yang dinamakan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Fixed Internet Broadband) bagi membantu golongan B40, veteran, Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas diumum hari ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pakej yang menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps bersama data tanpa had (unlimited data) boleh dilanggan dengan bayaran RM69 sebulan.

“Pakej ini mula ditawarkan pada bulan Mac 2023 dengan kontrak langganan selama 24 bulan.

“Harga pakej yang ditawarkan 22% lebih murah berbanding harga pakej semasa dengan spesifikasi yang sama iaitu sekitar RM89, bermakna rakyat dapat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan.

Pakej tersebut kata Fahmi, dijayakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad dan Astro.

“Inisiatif ini bukan sahaja seiring dengan hasrat untuk meringankan beban rakyat, malahan merupakan indikator bahawa Kerajaan Perpaduan dan penyedia perkhidmatan mengambil perhatian terhadap keperluan dan kebajikan rakyat serta terus berusaha dalan memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia MADANI,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

BACA JUGA Beku akaun Bersatu: Tohmah kerajaan campur tangan tidak bertanggungjawab – PM