Parlimen: Kos tangani kempen anti sawit Kesatuan Eropah amat tinggi

Kos untuk menangani kempen anti sawit oleh negara Kesatuan Eropah (EU) begitu tinggi, kata timbalan menteri Perladangan dan Komoditi.

Siti Aminah Aching berkata kementeriannya telah memohon lebih RM20 juta peruntukan daripada Kementerian Kewangan namun hanya diluluskan sebanyak RM10 juta.

“Dari segi ini kami amat berbesar hati sekiranya Kementerian Kewangan dapat memberikan peruntukan yang lebih untuk menangani kempen anti minyak sawit ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Siti Aminah (BN-Beaufort) berkata kementerian komited melaksanakan program menggunakan peruntukan diterima secara optimum supaya sasaran ditetapkan dapat dicapai

Selain promosi ke luar negara, program dalam negara juga dilaksanakan kepada pelajar sekolah dan kumpulan pengguna tentang kebaikan sawit Malaysia, kata Siti Aminah.

“Selain itu, kempen ini juga menumpukan usaha untuk menembusi pasaran baru seperti di Afrika, Timur Tengah dan Asia Tengah.

“Pasaran sedia ada seperti ASEAN dan Eropah Timur akan diperkukuh dan dipertingkat,” katanya.

Januari 2021, Malaysia memulakan tindakan undang-undang ke atas EU berikutan kempen berkenaan.

Malaysia menyertai Indonesia sebagai negara yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap EU susulan diskriminasi blok ekonomi itu terhadap produk keluaran kedua-dua negara menerusi kempen anti minyak sawit.

BACA JUGA: Syor salur BAP terus ke akaun bank murid sedang diteliti